
Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata tindakan paling tegas boleh dikenakan jika kesalahan yang dilakukan itu melibatkan kes jenayah, polis dan mahkamah serta dibuktikan guru itu bersalah.
“Kita ambil serius, bukan hanya pada kes ini, tetapi juga kes yang melanggar undang-undang, peraturan dan ingkar pekeliling perkhidmatan…yang boleh kita ambil tindakan. Di Pahang juga kita ada guru yang dibuang selepas disabitkan bersalah.
“Tapi tindakan ini mestilah mempunyai bukti yang sahih, betul dan kukuh dia bersalah. Kita tidak boleh ambil tindakan berdasarkan khabar angin atau semasa dia belum didakwa atau disabitkan bersalah,” katanya.
Mahdzir ditemui selepas mengadakan lawatan kerja di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alor Akar di sini hari ini, yang disertai Ketua Pengarah Pendidikan Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof dan Pengarah Pendidikan Pahang Datuk Rosdi Ismail.
Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semalam, yang menyentuh mengenai seorang guru yang didakwa mencabul 9 murid sebuah sekolah Tamil di Hulu Selangor, yang dikatakan kembali mengajar di sekolah lain.
Perkara itu menimbulkan kebimbangan terhadap ibu bapa dan golongan pendidik dan difahamkan guru itu diletakkan di bahagian Pejabat Pendidikan Daerah selama 2 bulan sebelum kembali ke sekolah.
Dalam perkembangan lain, Mahdzir berkata Jabatan Pendidikan Pahang akan mengambil inisiatif untuk meningkatkan enrolmen lebih 4,000 pelajar Orang Asli di 25 buah sekolah di seluruh Pahang yang setakat ini, hanya mencapai 85% setahun.
“Kita mahu pastikan kehadiran pelajar Orang Asli di sekolah 100%, dapat ditingkatkan lebih 3 atau 4% daripada jumlah sedia ada supaya jurang dengan sekolah biasa, iaitu sekitar 95 ke 96% tidak terlalu besar,” katanya.
Mahdzir menambah antara faktor yang dikenal pasti menyumbang ke arah perkara itu ialah kedudukan sekolah yang jauh daripada rumah dan bagi menyelesaikan masalah ini, kementerian akan bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).
Dalam pada itu, beliau memaklumkan hanya sebuah sekolah dianggap sebagai sekolah sakit atau tidak siap di Pahang iaitu SMK Padang Piol, Jerantut melibatkan pembinaan dewan dan syarikat yang terlibat ditamatkan kontraknya.
“Pembangunan dan pembinaan sekolah-sekolah lain pula berjalan mengikut jadual dan jika ada kelewatan, ia adalah kelewatan yang sedikit dan masih boleh dikawal. Ini semua adalah projek di bawah Rancangan Malaysia (RMK) ke-10.
“Bagi projek di bawah RMK-11 yang bermula tahun ini, kebanyakan projek diluluskan dan dalam proses untuk membuka tender selepas semua kerja tanah dan reka bentuk selesai,” katanya.
Mengulas mengenai lawatannya ke China baru-baru ini, Mahdzir berkata kementeriannya akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan China dalam beberapa perkara seperti mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), latihan teknikal dan vokasional (TVET), multimedia dan
teknologi maklumat.
Beliau menambah kedua-dua pihak secara dasarnya bersetuju dengan kerjasama itu dan menandatangani perjanjian persefahaman (MoU), namun perinciannya dijangka akan diketahui tahun depan.
15 kes guru cabul kehormatan pelajar sejak 2010, kata kementerian