
Malah Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman itu menjangkakan fahaman melampau IS akan menjadi ancaman ideologi dalam tempoh jangka panjang.
“Tidak ada tanda-tanda ancaman IS akan reda di Malaysia buat masa ini dan ia akan berkembang menjadi ancaman ideologi dalam tempoh jangka panjang,” kata Ayob di satu wacana di Bangi, Selangor semalam.
“Semua negeri pernah mencatatkan kes tangkapan berkaitan aktiviti IS, ini bermakna tidak ada negeri di Malaysia yang bebas daripada ancaman pengaruh kumpulan pengganas itu,” katanya lapor Bernama.
Menurut beliau, jumlah tangkapan setiap tahun terus meningkat sejak tangkapan pertama kes berkaitan IS pada 2013, dan pada tahun ini sahaja seramai 112 individu ditangkap setakat ini.
Menurut beliau, mereka yang ditangkap kerana terbabit dalam aktiviti keganasan tidak mempunyai profil tertentu.
“Antara yang ditangkap adalah anggota polis, anggota tentera termasuk komando, penjawat awam berjawatan ketua penolong pengarah, imam masjid, pelajar dan pensyarah universiti serta pelayan pelanggan (GRO),” katanya.
Beliau menambah terdapat segelintir belia Malaysia yang berminat ke Syria biarpun ramai yang ditangkap dan dipenjarakan kebelakangan ini.