
Beliau berkata, orang ramai tidak perlu bimbang dengan aspek keselamatan di semua lapangan terbang negara ini, termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2) di mana rakyat Korea Utara, Kim Jong Nam dibunuh pada 13 Februari lalu.
“Lapangan terbang kita selamat dan pemeriksaan mendapati tidak ada sebarang bahan toksik.
“Kita mahu memberitahu orang ramai supaya jangan risau, tiada apa yang perlu dibimbangkan. Kita akan terus mengukuhkan tahap keselamatan kita dari semasa ke semasa,” katanya sambil menyifatkan insiden pembunuhan Jong Nam sebagai kes terpencil.
Liow yang juga oresiden MCA ditemui selepas melancarkan Pusat Kajian Sosial dan Polisi Tun Tan Cheng Lock di Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) hari ini.
Turut hadir Canselor UTAR, Tun Dr Ling Liong Sik dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datin Paduka Chew Mei Fun.
Liow berkata, pihaknya belum mendapat laporan mengenai pekerja syarikat penerbangan Korea Utara, Air Koryo yang dikenal pasti sebagai Kim Uk Il, 37, yang kini dicari polis bagi membantu siasatan kes pembunuhan Jong Nam.
Selain Uk Il, seorang lagi suspek yang dikehendaki bagi membantu siasatan kes itu ialah setiausaha kedua Kedutaan Korea Utara di Malaysia, Hyon Kwang Song yang berusia 44 tahun.
Abang sebapa kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, dibunuh dengan bahan kimia yang kemudian dikenal pasti oleh Jabatan Kimia sebagai agen saraf VX.
Satu operasi pemeriksaan terperinci dilakukan di klia2 oleh pasukan keselamatan, termasuk Jabatan Forensik PDRM, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Lembaga Pelesenan Tenaga Atom dari jam 1.45 pagi hingga 3 pagi pada Ahad.
Jong Nam berada di klia2 pada 8 pagi 13 Februari lalu untuk menaiki penerbangan ke Macau sejam kemudian, apabila 2 wanita tiba-tiba muncul dan menyapu mukanya dengan tapak tangan mereka yang mengandungi agen saraf VX.
Jong Nam kemudian mendapatkan pertolongan di kaunter khidmat pelanggan lapangan terbang itu dan segera dihantar ke Hospital Putrajaya, tetapi meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke sana.
Beliau ke Malaysia pada 6 Februari lalu menggunakan pasport tertera nama Kim Chol.
Berikutan itu, polis menangkap 2 wanita – seorang menggunakan pasport Indonesia dan seorang lagi menggunakan pasport Vietnam – serta seorang lelaki warganegara Malaysia dan seorang lelaki rakyat Korea Utara.