Pakatan Harapan utamakan polisi ‘satu lawan satu’

Pakatan Harapan utamakan polisi ‘satu lawan satu’

Semua perkara yang diketengahkan dalam rundingan akan diambil kira bagi memastikan polisi 'satu lawan satu' di setiap kawasan yang ditandingi calon pakatan pembangkang

wan-azizah
BUKIT MERTAJAM: Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) masih dalam perbincangan bagi menentukan pengagihan kerusi yang dipertandingkan calon pakatan pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, semua perkara yang diketengahkan dalam rundingan itu akan diambil kira bagi memastikan polisi ‘satu lawan satu’ di setiap kawasan yang ditandingi calon pakatan pembangkang.

“Kita nak satu lawan satu tapi kita tidak boleh menyekat mana-mana individu atau parti mana yang nak bertanding. Itu adalah antara rundingan kita, kita nakkan supaya kita menang…itu polisinya,” kata beliau dipetik Bernama.

Terdahulu beliau merasmikan Latihan Jentera PKR kawasan Penanti di sini.

Dr Wan Azizah berkata, pihaknya bersedia untuk berbincang dengan PPBM yang meminta supaya perbincangan semula diadakan bagi pengagihan kerusi yang dipersetujui Pakatan Harapan sebelum ini.

“Kesediaan ini dibuat selepas mengambil kira beberapa faktor daripada PPBM, termasuk usia penubuhan parti itu yang masih baharu. Kita juga sedang membincangkan perkara asas dalam kerjasama semua parti pembangkang, termasuk agihan kerusi,” katanya.

Pada Selasa lepas, Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail mengakui berlaku pertindihan kerusi antara Pakatan Harapan dan PPBM, namun menyifatkan ia sebagai pertindihan yang minimum.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.