
Tokoh perbankan berusia 78 tahun itu merupakan antara 6 individu yang diiktiraf atas sumbangan luar biasa dan cemerlang kepada negara dan rakyat Malaysia pada majlis penyampaian anugerah berprestij itu malam tadi.
Semua mereka dipilih mengikut 5 kategori iaitu Pendidikan dan Komuniti; Alam Sekitar; Kesihatan; Sains dan Teknologi; Pencapaian Ilmiah Cemerlang dan Sumbangan Cemerlang kepada Rakyat Malaysia.
Selain Abdul Halim, individu lain yang turut menerima anugeraha berkenaan ialah bekas pengerusi dan presiden World Wide Fund For Nature (WWF) Malaysia, Datuk Seri Tengku Dr Zainal Adlin Tengku Mahamood, 77; Prof Dr Balbir Singh Mohan, 62; Dr Timothy William, 47; Prof Ir Dr Masjuki Hassan, 64 dan pakar sejarah Asia Tenggara, Prof Dr Anthony Milner, 72.
Semua penerima membawa pulang sijil, trofi Anugerah Merdeka dan hadiah wang tunai yang disampaikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, selaku Penaung Diraja Amanah Anugerah Merdeka. Turut berangkat Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Sejak pembentukannya pada 2007, Anugerah Merdeka mengiktiraf 44 individu dan 2 organisasi cemerlang, masing-masing bergerak sebagai model contoh untuk diteladani generasi pasca Merdeka.