Mangsa banjir di Pulau Pinang, Perak, Kedah bertambah

Mangsa banjir di Pulau Pinang, Perak, Kedah bertambah

Azmin Ali berkata, kerajaan Selangor menyumbang RM1 juta untuk membantu mangsa banjir di Pulau Pinang.

mangsa-banjir
GEORGE TOWN: Jumlah mangsa banjir di 5 daerah di Pulau Pinang sehingga 10 malam tadi terus meningkat kepada 3,779 orang berbanding 3,365 orang pada 6 petang tadi yang ditempatkan di 56 pusat pemindahan.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Farizan Darus berkata, 196 mangsa ditempatkan di daerah Barat Daya, Timur Laut (315), Seberang Perai Selatan (253), Seberang Perai Utara (851) dan Seberang Perai Tengah (2,164).

Di Seberang Perai Utara, pusat pemindahan bertambah daripada 6 kepada 9, manakala Seberang Perai Tengah bertambah 2 lagi menjadikan jumlahnya 23, katanya pada sidang media malam ini.

Hampir keseluruhan kawasan di Pulau Pinang terjejas akibat banjir dengan beberapa kawasan dinaiki air antara 0.2m sehingga 1m, diikuti angin kencang dan hujan lebat sejak 2 petang semalam yang turut menumbangkan puluhan pokok.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang turut hadir pada sidang media itu berkata, beliau sudah mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan di negeri itu segera turun padang membantu mangsa banjir di Pulau Pinang.

Katanya, kerajaan Selangor juga akan menyumbang RM1 juta untuk membantu mangsa banjir.

Sementara itu di Kedah, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan setakat 8 malam tadi meningkat kepada 2,721 orang berbanding 1,906 orang yang direkodkan 6 petang tadi.

Pengarah Pertahanan Awam Negeri, Lt Kol (PA) Mohd Zul Khairi Shamsuddin berkata, semua mangsa daripada 730 keluarga ditempatkan di 38 pusat pemindahan di Kuala Muda, Yan, Kulim, Bandar Baharu dan Baling.

Di Kuala Muda, 17 pusat pemindahan dibuka di surau Kampung Bongkok yang menempatkan 60 mangsa, Dewan Kampung Tengah Padang Temusu (8), Dewan Steang Wam Kowang (23), surau Kampung Padang Tok Sora (72), Dewan Kampung Bukit Belah Batu Dua (19), Dewan Taman Bedong Jaya (80), surau Taman Malinja (50), Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Gedong (33), Dewan Kampung Segantang Garam (38), Kampung Kilang Makau (40), surau Kampung Haji Ngah (8), surau Kampung Jawa (26), Dewan Kampung Baru (25), Dewan Kampung Bujang (86), Dewan Kampung Sungai Pial (165), Surau Kampung Jilid 4/5 (70), dan Surau Kampung Lebai Ali (298).

Di Yan, 4 pusat pemindahan dibuka iaitu Tadika Kemas Kampung Perigi (18), surau Kampung Teroi Bukit (89), surau Kampung Lubok Boi (69) dan surau Kampung Kepala Bukit (66).

Di Kulim pula, 14 pusat pemindahan dibuka di Dewan Masjid Al-Muqtadin (147), Dewan Taman Saga (40), Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Selasih (164), Surau Al-Haq (30), Surau Taman Kancil (112), Dewan KEDA Naga (62) dan Dewan Masjid Sungai Limau dengan 35 mangsa, SK Permatang Tok Dik (51), SK Sungai Seluang (87), Tadika Kemas Padang Limau (199), Surau Al-Ikhlas Karangan (91), SK Sungai Karangan (14), Surau Al-Husna (26) dan Masjid Selarong Panjang (28).

Sementara itu, sebuah pusat pemindahan dibuka masing-masing di Bandar Baharu iaitu Dewan Sungai Batu yang menempatkan 25 mangsa dan di Baling di Masjid Kuala Bakong (104).

Di Perak, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 153 orang setakat 9.30 malam tadi berbanding 103 orang pada tengah hari tadi.

Menurut info Portal Banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri, 103 orang daripada 21 keluarga dari Kampung Simpang Tiga dan Kampung Serapoh di Perak Tengah kini ditempatkan di pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Simpang Tiga.

Di daerah Hulu Perak, 50 orang daripada 20 keluarga ditempatkan di Dewan Orang Ramai Kampung Sumpitan.

Sementara itu, tanah runtuh dilaporkan berlaku di Jalan Kuala Kangsar-Gerik dekat jambatan Kampung Sumpitan kira-kira 3 petang tadi, namun tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.