
Kediaman penduduk diselaputi lumpur tebal dengan kebanyakan harta benda rosak, manakala pihak berkuasa yang giat menjalankan kerja pembersihan, terpaksa bergelut dengan masalah kekurangan pekerja kerana mereka juga mangsa banjir.

Pegawai kanan kerajaan tempatan berkata, selain makanan dan tempat tinggal, Pulau Pinang juga memerlukan lori dan jentolak untuk membersihkan lumpur tebal di jalan raya serta longkang.
Penduduk berusaha membersihkan kediaman masing-masing dengan harapan kehidupan akan kembali normal, walaupun ribut diramalkan melanda lagi minggu ini.

Bagaimanapun, untuk kembali menjalani kehidupan seperti biasa mungkin sukar bagi sesetengah penduduk khasnya di Taman Seri Rambai, Bukit Mertajam yang merupakan antara kawasan paling teruk terjejas.
Ratusan perabot rosak berbaris di tepi jalan kawasan pinggir bandar itu, dengan tanda paras air dalam bentuk lumpur yang hampir melepasi ketinggian sebuah kereta Honda City jelas kelihatan.
Sampah seperti tin dan lampin terperangkap di pagar rumah.
Penduduk pula dikesan makan di halaman rumah selepas sekumpulan sukarelawan dari Yayasan Amriteswari mengagihkan makanan percuma menggunakan sebuah lori.
Ramai yang masih terkejut dengan bencana hujung minggu lalu. Ramai saudara mangsa datang membantu membuang harta benda rosak.
Ikan mahal mati
Seorang peniaga berusia 63 tahun, Jeffrey Leong Chee Meng berkata, beliau kerugian hampir RM200,000 dari segi harta benda dan ternakan ikan empurau.

“Kami membela 600 hingga 700 ekor ikan empurau dalam tangki. Tetapi, semua ikan itu mati selepas air naik setinggi 5 kaki,” katanya ketika ditemui FMT di rumahnya.
Leong berkata, harga pasaran ikan itu sekurang-kurangnya RM400.
“Hidup perlu diteruskan.”

Anaknya, Adam Leong, 35, berkata banjir baru-baru ini mengingatkannya kepada air bah setinggi 5 kaki pada 1995 yang mengambil masa 4 hari untuk surut.
“Sekurang-kurangnya kali ini air surut dengan cepat. Saya rasa ia disebabkan pam air yang dipasang di sungai berhampiran.”
Keadaan di Air Itam lebih teruk
Banjir di tanah besar Sebarang Perai mungkin dilaporkan lebih teruk berbanding di pulau.
Tetapi, keadaan sebaliknya di Kampung Shaik Madar berhampiran Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chung Ling di Air Itam, Pulau Pinang.
Kawasan penempatan itu mempunyai lebih 100 unit rumah kampung dan batu 2 tingkat yang terletak di tepi Sungai Air Itam, yang melimpah ketika hujan lebat pada hujung minggu lalu.

Akibatnya, air naik hampir 1.8m (6 kaki) menyebabkan kerosakan besar kepada struktur rumah dan harta benda penduduk yang kebanyakannya warga emas dan golongan berpendapatan rendah.
Seorang penduduk berkata, arus begitu deras sehingga sebuah lori 1 tan dihanyutkan sejauh 50m dan akhirnya disekat sebuah kereta Perodua Myvi yang baru berusia 6 bulan.
Kini, yang tinggal hanya kesan lumpur tebal di jalan raya dan rumah.

Mujurlah Yayasan Tzu Chi menghantar 50 ahlinya untuk membersihkan lumpur menggunakan penyodok dan kereta sorong.
Mereka pergi dari rumah ke rumah untuk membantu penghuni tunggal yang kebanyakannya sudah tua dan tidak boleh bergerak.

Pekerja Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) pula menggunakan lori tangki air untuk membersihkan longkang yang dipenuhi lumpur dan sebuah jentolak untuk mengangkut harta benda rosak.
Adun Air Itam, Wong Hon Wai turut dikesan membantu pekerja MBPP membersihkan sebatang jalan berlumpur.
Ruslinda Mohd Nor, 45, berkata sebatang pokok besar berhampiran tumbang menimpa rumah kayunya yang didiami 10 orang.

“Saya hubungi majlis bandaraya, tetapi mereka maklumkan mereka terlalu sibuk. Kami berharap meraka akan membawa gergaji elektrik untuk memotong dahan itu sebelum rumah usang saya ranap sepenuhnya.”
Kampung Shaik Madar ditubuhkan pada 1960 oleh Majlis Perbandaran George Town yang menawarkan skim sewa kepada penduduk. MBPP meneruskan skim itu sehingga kini pada kadar RM75 sebulan.
Seorang penduduk, Chong Sin Thon, 97, antara 7 mangsa yang dilaporkan maut dalam banjir kilat kali ini. Menurut polis, beliau maut akibat lemas.
‘Tolong bawa saya ke rumah orang tua’
Seorang warga emas yang separuh buta dari kampung itu, Tho Yuo Seng, 76, berkata beliau nyaris dihanyutkan air, tetapi sempat berpaut pada lantai di tingkat atas.

“Air naik hingga ke paras lutut…Saya baru sahaja naik untuk sambung tidur. Keesokannya, semuanya ditenggelami air,” katanya.
Tidak jauh dari sana, seorang bekas pengawal keselamatan yang kini berusia 70 tahun, Joseph Tan berkata, beliau kini buta kerana dimamah usia, tetapi masih mampu meranduk air ke kawasan selamat.

Katanya, beliau tinggal di rumah itu sejak 1953.
“Saya tinggal bersendirian. Saya berharap seseorang boleh menghantar saya ke rumah orang tua,” katanya yang masih bujang.

Munah Mohamed, 75, berkata Kampung Shaik Madar sering dilanda banjir kerana sungai berhampiran tidak cukup dalam.
Katanya, tidak terkira banjir yang terpaksa diharungi beliau dan 5 anaknya.
Seorang lagi penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Lim berkata, cara terbaik ialah Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang mengecualikan bayaran air bulan ini untuk semua mangsa banjir.
“Kerajaan datang dan pergi, tetapi masalah banjir belum diselesaikan. Apa yang perlu kami lakukan?” soalnya.