
Katanya, rakyat perlu memikirkan siapa berupaya membawa kemajuan dan membangunkan ekonomi negara untuk dinikmati semua lapisan rakyat apabila menentukan kerajaan pilihan mereka pada PRU berkenaan.
“Kita mesti melihat siapakah yang dapat mengekalkan keharmonian dalam negara kita ini, hubungan yang serasi antara kaum, agama, budaya tanpa mengira warna kulit, tetapi kita tetap dalam ikatan yang padu.
“Saya lihat Sabah merupakan contoh terbaik di Malaysia (dari segi keharmonian kaum),” katanya ketika berucap merasmikan Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau (FKAT), malam tadi.
Turut hadir Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman dan timbalannya, Datuk Seri Yahya Hussin.
Menurut Najib, rakyat perlu memilih kerajaan yang berupaya mewujudkan kestabilan politik kerana ia akan menentukan pembangunan sesebuah negara.
“Tanpa kestabilan politik tidak mungkin kita dapat membawa pembangunan. Tanpa kestabilan politik dan hubungan baik antara kerajaan pusat dan negeri tak mungkin kita dapat bawa kemajuan kepada negeri Sabah.
“Dalam tempoh BN (Barisan Nasional) memerintah, kita dapat menentukan kestabilan politik dan hubungan baik antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri,” kata pengerusi BN itu.
Menurutnya, keamanan perlu menjadi ukuran rakyat apabila mereka memilih kerajaan kelak kerana dengan adanya keamanan rakyat dapat menikmati hidup lebih sejahtera.
Katanya, beliau memberi komitmen tinggi untuk menentukan keamanan di Sabah, termasuk di kawasan pantai timur negeri itu akan terus dipertahankan kerajaan.
“Setiap rakyat dan setiap inci bumi Sabah ini akan kita pertahankan sampai bila-bila,” tegas Najib.
Beliau berkata, rakyat harus memilih kerajaan yang berupaya membangunkan ekonomi negara dalam apa juga keadaan kerana kejayaan membangunkan ekonomi akan memberi limpahan rezeki kepada semua lapisan.
Sebagai contoh katanya, kerajaan berupaya menggandakan nilai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada rakyat seperti diumumkan dalam manifesto BN semalam kerana kerajaan mempunyai lebihan pendapatan berikutan kemampuannya menguruskan ekonomi dengan baik dan cekap.
“Falsafah yang saya pegang sebagai ketua kerajaan ialah kalau hasil kerajaan bertambah, kita mesti agihkan kekayaan itu kepada rakyat. Kita mesti bantu rakyat yang memerlukan,” katanya.
Katanya, lebihan hasil kerajaan melalui kutipan pelbagai sektor perlu diagihkan kepada rakyat yang memerlukan, bukannya untuk disimpan.
“Jangan mainkan isu cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan kos sara hidup tetapi tidak memberi jawapan kepadanya,” kata Najib.
Beliau berkata, kerajaan BN menjawab kritikan berhubung isu itu dengan mengembalikan lebihan pendapatan kerajaan kepada rakyat dalam pelbagai kaedah, termasuk menggandakan nilai BR1M.