Parti Rakyat Sarawak tak setuju komposisi jawatankuasa pemandu MA63

Parti Rakyat Sarawak tak setuju komposisi jawatankuasa pemandu MA63

James Masing berkata kompositi daripada Tanah Melayu, Sarawak dan Sabah sepatutnya sama rata.

Tan Sri James Jemut Masing. (Gambar Bernama)
SIBU:
Parti Rakyat Sarawak (PRS) tidak bersetuju dengan komposisi ahli jawatankuasa pemandu bagi menyemak dan menyelaraskan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sambil menyifatkan komposisi itu tidak masuk akal.

Presiden Tan Sri James Jemut Masing menegaskan komposisi jawatankuasa tersebut sepatutnya sama rata misalnya masing-masing 5 orang dari Tanah Melayu, Sarawak dan Sabah yang membentuk negara Malaysia.

PRS juga berpandangan jawatankuasa itu tidak sepatutnya dipengerusikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Perdana menteri orang yang melanggar peraturan MA63 menjadi pengerusi atau pengadil jawatankuasa pemandu. Sepatutnya cari orang lain. Bukankah itu tidak masuk akal?

“Status kesamaan bermakna kesamaan perwakilan. Ikut komposisi Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (ICG),” katanya semasa menyampaikan amanat pada persidangan perwakilan luar biasa PRS hari ini.

Pada 10 Oktober lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew View Keong mengumumkan nama 16 ahli jawatankuasa pemandu yang diketuai Dr Mahathir bagi menyemak dan menyelaraskan MA63.

Mereka ialah Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo.

Lainnya ialah Menteri Luar Negeri Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Kerja Raya Baru Bian, Menteri Perdagangan Antarabangsa Darell Leiking, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook, Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ismail Bakar, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk David Wong Dak Wah, Peguam Negara Tommy Thomas, Profesor Undang-undang Universiti Malaya Prof Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi, Peguam Besar Sabah Zaleha Rose Pandin dan Peguam Besar Sarawak Datuk Talat Mahmood Abdul Rashid.

Berhubung isu minyak dan gas, Masing yang juga timbalan ketua menteri berkata, berdasarkan perlembagaan Sarawak adalah jelas minyak dan gas yang berada dalam wilayah negeri milik Sarawak.

Menurutnya, syarikat-syarikat minyak termasuk Petronas yang ingin meneroka atau mengekstrak minyak dan gas di Sarawak perlu mendapatkan lesen terlebih dahulu daripada kerajaan negeri.

“Sarawak tidak tamak. Biar Petros (syarikat minyak milik kerajaan Sarawak) dan Petronas atau lain-lain syarikat minyak berkongsi meneroka minyak dan gas berdasarkan kontrak perkongsian kuasa (PSC) di mana saiz ekuiti yang dimiliki ditentukan sendiri oleh Sarawak,” katanya.

Sementara itu, Masing berkata PRS membuat keputusan untuk tidak menyertai gabungan Pakatan Harapan walaupun terdapat desakan untuk berbuat demikian.

“Sebaliknya, keputusan telah dibuat untuk menyertai Gabungan Parti Sarawak (GPS) bersama-sama PBB, SUPP dan PDP kerana kesemua parti gabungan itu dipimpin pemimpin dan dianggotai rakyat negeri ini yang sudah tentu memelihara dan menjaga kepentingannya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.