PPBM kerjasama rapat dengan Warisan, kata PM

PPBM kerjasama rapat dengan Warisan, kata PM

Pengerusi PPBM itu berkata, 3 pemimpin Warisan dilantik sebagai menteri dalam kerajaan persekutuan.

Dr Mahathir Mohamad berbuka puasa dengan Shafie Apdal (2 dari kiri) di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, hari ini. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Dr Mahathir Mohamad berkata, PPBM sedang bekerjasama rapat dengan kerajaan Sabah pimpinan Warisan yang bukan sebahagian daripada Pakatan Harapan.

Pengerusi PPBM itu berkata, 3 pemimpin Warisan turut dilantik sebagai menteri di peringkat kerajaan persekutuan.

“Malah pada pilihan raya kecil Sandakan baru-baru ini, Warisan memainkan peranan besar (dalam kemenangan DAP),” katanya di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu hari ini.

PRK Parlimen Sandakan menyaksikan calon PH, Vivian Wong daripada DAP memperolehi kemenangan besar dengan majoriti 11,521 undi dalam pertembungan 5 penjuru pada 11 Mei lalu.

Hubungan PPBM dan Warisan dingin selepas parti komponen PH itu melebarkan sayap ke Sabah, keputusan yang bertentangan perjanjian 2 parti itu sebelum pilihan raya umum ke-14 lalu untuk PPBM tidak memasuki Sabah.

Terdahulu, Mahathir bersama Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal dan pemimpin Sabah lain menghadiri majlis berbuka puasa di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, sebelum pulang ke Kuala Lumpur dengan isterinya, Dr Siti Hasmah Ali kira-kira 8.30 malam.

Sementara itu, Mahathir berkata, bukan hanya Sabah yang terjejas dengan isu kelewatan penyaluran dana pembiayaan projek persekutuan dan kerajaan terpaksa menggunakan sektor swasta untuk menyelesaikan projek di seluruh negara.

“Ia lambat bukan hanya di Sabah, tetapi juga di Semenanjung. Masalahnya ialah kita menghadapi banyak rintangan berpunca kerajaan terdahulu.

“Perkara yang paling penting kita tiada wang. Kita biarkan sektor swasta menjalankannya (projek) dan kita mesti pastikan sektor swasta itu adalah tulen dan bukannya alat orang lain.”

Mengenai kelewatan dalam projek Lebuhraya Pan Borneo, Mahathir berkata, Jabatan Kerja Raya sudah mengambil alih tugas itu daripada perunding swasta.

“Ini tugas JKR. Jadi, sekarang JKR mengambil semula peranan itu sekurang-kurangnya dalam hal Sabah dan terpulang kepada mereka (untuk menentukan) siapa pihak berkuasa.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.