‘Perang dingin’ tamat, OKU akhirnya temui Wan Azizah, Hannah Yeoh

‘Perang dingin’ tamat, OKU akhirnya temui Wan Azizah, Hannah Yeoh

Kumpulan OKU itu berkata, menteri dan timbalan menteri KPWKM itu mendengar 2 cadangan yang disuarakan mereka dalam sesi konsultasi bersama NGO mengenai dasar bajet KPWKM 2020 di Putrajaya hari ini.

Hannah Yeoh mendengar perkara yang disampaikan Anthony Thanasayan (kiri) dan G Francis Siva (2 dari kiri).
PETALING JAYA:
Sekumpulan aktivis orang kelainan upaya mengisytiharkan “perang dingin” dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berakhir, selepas mereka menemui Menterinya, Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalannya, Hannah Yeoh, hari ini.

Aktivis OKU, Anthony Thanasayan berkata “ini ialah langkah pertama ke arah kerjasama rapat dalam masa depan” susulan kekecewaan mereka terhadap kerajaan Pakatan Harapan yang didakwa tidak berusaha mendekati mereka langsung.

Beliau memberitahu FMT, kumpulan aktivis OKU yang mengadakan protes di depan KPWKM di Putrajaya pada 30 Mei lalu, antara badan bukan kerajaan yang turut dipelawa menyertai sesi konsultasi bersama NGO mengenai dasar bajet KPWKM 2020 di Putrajaya hari ini.

“Ia janggal untuk menemui menteri dan timbalan menteri selepas apa yang berlaku beberapa minggu lalu.

“Tetapi, menteri itu memohon maaf kepada kami dan memaklumkan beliau tiada di sini apabila kami ke Putrajaya. Malah Hannah, tanpa kami bertanya, memberitahu kami, beliau juga tiada di sini pada hari itu,” katanya kepada FMT.

Wan Azizah Wan Ismail menemui seorang aktivis OKU dalam sesi konsultasi bersama NGO mengenai dasar bajet KPWKM 2020 di Putrajaya hari ini.

Thanasayan yang juga presiden Persatuan Terapi Bantuan Haiwan untuk Warga Kurang Upaya dan Warga Emas, bagaimanapun memuji Wan Azizah dan Yeoh yang memberi perhatian terhadap 2 cadangan dikemukakan mereka hari ini.

“Yeoh mencatatkan semua yang kami beritahu, hampir setiap perkataan. Terus-terang saya katakan, saya tak pernah melalui sesi lain yang mengambil kira pandangan kami secara serius.

“Malah, Hannah memberi respons kepada beberapa perkara saya bangkitkan, yang menurut (Presiden Badan Latihan dan Hidup Berdikari Malaysia) G Francis Siva, beliau tidak berbuat demikian bagi pihak lain,” katanya dalam satu catatan dalam talian.

Katanya, KPWKM patut mengkaji cadangan menyediakan penjaga peribadi yang dilatih untuk membantu menambah baik kualiti OKU, bagi golongan itu.

“Kami diberitahu sekarang kementerian ada sukarelawan, tetapi sukarelawan tidak dapat membantu. Ia perlu adala kerja berbayar.”

Kumpulan aktivis itu turut mencadangkan kerajaan menyediakan bantuan kewangan bulanan RM500 bagi OKU.

Thanasayan berkata, Yeoh ada membangkitkan cabaran kewangan yang dihadapi kerajaan dalam memenuhi permintaan mereka.

“…ia adalah sesuatu yang beliau dan kementeriannya akan usahakan dan cuba mencari penyelesaian (untuk permintaan mereka).”

Kumpulan aktivis OKU itu mengadakan protes di luar KPWKM di Putrajaya pada 30 Mei lalu kerana kecewa dengan kerajaan PH yang didakwa tidak berusaha mendekati mereka langsung.

Mereka dilapor menyifatkan tindakan Wan Azizah dan Yeoh tidak mahu menemui mereka sebagai memalukan kerana kerajaan Barisan Nasional tidak pernah melayan mereka sedemikian.

Mereka kemudiannya menemui Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, selepas gagal menemui Wan Azizah dan Yeoh.

Zuraida dilaporkan berjanji akan menubuhkan sebuah jawatankuasa penasihat yang turut dianggotai OKU di pihak berkuasa tempatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.