Tourism Malaysia menganjurkan promosi makanan Malaysia di Chennai yang menawarkan pelbagai juadah enak kepada pengunjung di bandar raya selatan India itu.

Acara “Citarasa Malaysia” itu diadakan di Courtyard oleh Marriott Chennai bemula 24 Jun hingga 4 Julai, bertujuan menarik lebih ramai pelancong untuk menikmati keenakan pelbagai juadah dari Malaysia.
“Malaysia kaya dengan kepelbagaian budaya dan kaum, membolehkan pelbagai jenis masakan digabungkan bagi menghasilkan juadah lazat,” kata Konsul Jeneral Malaysia di Chennai, Saravanan Karathihayan.
Chef Zainal Abidin Yahya dari Malaysia, yang telah menjalankan perniagaan selama 25 tahun, mengetuai pasukan hotel tempatan mempamerkan kemahiran dalam menyediakan hidangan seperti Rendang Ayam, Ikan Masak Kari, Ayam Masak Merah, Satay, Sambal Terong dan Dalca Sayur.

“Ramai orang di Chennai sudah biasa dengan makanan Malaysia kerana hubungan yang kuat di antara kedua-dua negara. Acara kami mendapat sambutan baik daripada komuniti perniagaan dan keluarga mereka,” kata Timbalan Pengarah Tourism Malaysia bagi India Selatan dan Sri Lanka, Logi Dhasan Thanaraj.
Kira-kira 50 wanita, mewakili Kelab Eksklusif Duchess di Chennai, dijangka menyertai bengkel memasak pada 2 Julai.
“Pada tahun ini Tourism Malaysia meningkatkan promosi sebagai persediaan Visit Malaysia 2020. Sasarannya untukmembawa masuk sejuta pelancong India. Selepas Chennai acara ini akan diadakan di Kochi, Kerala,” kata Logi.
Acara itu diadakan dengan kerjasama Malindo Air, Persatuan Ejen Pelancongan India (TAAI) dan Persekutuan Agensi Pelancongan India (TAFI),” katanya.
Sumber Bernama
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]