TPM gesa promosi TMM2026 ikut kumpulan sasaran

TPM gesa promosi TMM2026 ikut kumpulan sasaran

Zahid Hamidi berkata, promosi TMM2026 tak boleh bersifat umum kerana setiap segmen pelancong ada minat, keperluan berbeza.

Zahid Hamidi dan Tiong King Sing lepas peserta Malaysia Night Music Run sempena Larian Visit Malaysia 2026 di Pavilion Kuala Lumpur, Bukit Bintang, hari ini. (Gambar Motac)
PETALING JAYA:
Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi menggesa promosi menjayakan Tahun Melawat Malaysia (TMM2026) diperincikan mengikut kesesuaian kumpulan sasaran.

Zahid yang juga pengerusi Jawatankuasa Kabinet TMM2026 berkata, ia bagi memastikan keberkesanan kempen dalam menarik kehadiran pelancong, lapor Bernama.

Menurutnya, pendekatan pemasaran tidak boleh bersifat umum kerana setiap segmen pelancong mempunyai minat berbeza.

“Ia harus diikuti dengan tindakan-tindakan susulan … tidak boleh menggunakan satu bentuk publisiti sahaja dan perlu sesuai mengikut kumpulan sasaran berkenaan,” katanya selepas melepaskan peserta Malaysia Night Music Run di Pavilion Kuala Lumpur, sempena Larian Visit Malaysia 2026.

Sementara itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing berkata, program itu mencerminkan pendekatan progresif negara dalam membangunkan sektor pelancongan secara holistik dan inklusif.

“Penganjuran ini sebuah inisiatif nasional yang menggabungkan amalan gaya hidup sihat, semangat kebersamaan serta pemerkasaan pelancongan berteraskan budaya dan komuniti,” katanya.

Menurutnya, program itu bukan sahaja menggalakkan kesejahteraan fizikal dan mental, malah menjadi wadah penyatuan rakyat berbilang kaum, budaya dan latar belakang sejajar aspirasi pembinaan negara.

Tiong berkata, selaras matlamat TMM2026, program itu turut memperkukuh usaha kementerian mempromosikan pelancongan berasaskan pengalaman.

“Pengunjung bukan sekadar melawat destinasi, tetapi turut berinteraksi dengan komuniti setempat serta menghayati nilai kemasyarakatan dan warisan negara,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.