Warga emas melecur dalam kebakaran meninggal dunia selepas 3 hari bertarung nyawa

Warga emas melecur dalam kebakaran meninggal dunia selepas 3 hari bertarung nyawa

Jusoh Muda, yang berusia dalam lingkungan 80-an, melecur di bahagian kaki dan belakang badan dalam kejadian kebakaran Isnin lalu.

Kejadian kebakaran sebuah rumah di Kampung Losong Haji Su, Isnin lalu mengorbankan Fatimah Mohd, 79 dan mencederakan Jusoh Muda, 83. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki warga emas yang cedera dalam kebakaran yang mengorbankan isterinya di Kuala Terengganu Isnin lalu dilaporkan meninggal dunia pagi tadi.

Jusoh Muda, yang berusia dalam lingkungan 80-an, meninggal dunia pada 6.31 pagi di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu, di mana beliau dirawat kerana melecur di bahagian kaki dan belakang badan.

Anaknya Zakaria, 56, memaklumkan kepada Harian Metro bahawa jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan sebelum solat Zohor di tanah perkuburan yang sama dengan arwah isterinya, iaitu Tanah Perkuburan Islam Makam Lama Chabang Tiga.

Sementara itu menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu Md Hilman Ab Rashid, mangsa melecur kira-kira 50% pada bahagian kaki dan badan.

Kejadian kebakaran pada pagi Isnin di sebuah rumah di Kampung Losong Haji Su itu mengorbankan isteri Jusoh, Fatimah Mohd, 79.

Mangsa yang berkerusi roda ditemui oleh anggota bomba dalam keadaan rentung selepas kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya.

“Mangsa yang uzur tidak dapat menyelamatkan diri ketika kejadian dan dipercayai terjatuh apabila rumah kayu tersebut runtuh ketika kebakaran,” kata Md Hilman.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.