
Katanya, pendekatan itu antara kaedah terbaik mempercepatkan lagi program imunisasi di Sabah.
“Selain pembukaan lebih banyak pusat pemberian vaksin (PPV), satu kaedah terbaik ialah memberikan vaksin kepada penduduk di kawasan PKPD.
“Ia bagi meningkatkan bilangan penerima vaksin sekali gus mempercepat dan membentuk imuniti berkelompok di kawasan PKPD berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Bung berkata, usaha itu wajar diberi perhatian kerana penduduk di kawasan PKPD adalah golongan yang berisiko, dan kluster baharu mampu tercetus sekiranya tidak dilaksanakan.
Beliau yang juga Menteri Kerja Raya berkata, pemberian vaksin harus diberikan kepada penduduk yang sah negatif Covid-19 bagi memastikan mereka mempunyai “perlindungan diri” seterusnya mengawal wabak berkenaan merebak setelah PKPD ditamatkan.
“Memandangkan petugas kesihatan akan berada di lapangan atau di lokasi PKPD bagi menjalani ujian saringan Covid-19, alangkah baiknya sekiranya program pemberian vaksin juga dijalankan serentak selepas mereka disahkan negatif Covid-19.
“Jika ujian pengesanan Covid-19 dan pemberian vaksin dilaksanakan dalam satu masa, bukankah ini lebih mempercepatkan usaha kita membentuk imuniti berkelompok dan tidak mustahil mampu menurunkan bilangan kes Covid-19 di negeri ini,” katanya.