
Beliau berkata, PKPD di Kelantan membabitkan kuarters Ladang Lepan Kabu (A & B) dan sebahagian kawasan Kampung Pahi yang bersempadan dengan kuarters Ladang Lepan Kabu di Kuala Krai.
“Hasil pemantauan Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati berlaku peningkatan kes dan setakat ini, seramai 80 individu disaring, 18 daripadanya dilaporkan positif Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, beliau berkata, PKPD di Sabah pula membabitkan Kampung Jambatan Baru di Membakut dan Blok 6, Kampung Titingan di Tawau.
“Setakat ini, 17 individu dilaporkan positif di Kampung Jambatan Baru manakala sembilan disahkan positif di Blok 6, Kampung Titingan,” katanya.
Beliau turut mengumumkan lanjutan PKPD di Kampung Jaya Baru, Kunak dan Kampung Serudung Baru, Tawau, Sabah selama dua minggu berkuatkuasa 6 Julai selepas KKM mendapati penularan masih berlaku dalam komuniti serta terdapat kes baharu direkodkan.
Dalam pada itu, PKPD di beberapa lokaliti diisytihar tamat esok.
Lokaliti-lokaliti yang terbabit adalah empat di Mukim Tenglu, Mersing, Johor – Kampung Tanjung Genting, Kampung Benaung, Kampung Makam dan Kampung Sawah Datok; lima taman perumahan di Mentakab, Pahang – Taman Bukit Bendera, Taman Rimba, Taman Sri Layang, Taman Saga dan Taman Saga Indah; Ladang Brumas di Kalabakan; serta Kampung Pulutan di Nabawan dan Taman Wijaya Park di Kota Kinabalu, Sabah.