Peguam ‘tak boleh diharap’ sebenarnya nazak, kata peguam

Peguam ‘tak boleh diharap’ sebenarnya nazak, kata peguam

Peguam itu telahpun meninggal dunia, dan ketika itu tidak memaklumkan anak guamnya mengenai keadaan kesihatannya.

Mahkamah Persekutuan semalam membatalkan sabitan terhadap seorang lelaki warga Yaman atas tuduhan mengedar dadah disebabkan ketidakcekapan peguamnya.
PETALING JAYA:
Seorang peguam Sabah yang mewakili lelaki Yaman dalam perbicaraan kes mengedar dadah tidak dapat melakukan pembelaan sewajarnya kerana beliau sebenarnya sedang nazak akibat penyakit serius dihidapi.

Peguam itu yang telah pun meninggal dunia, tidak memaklumkan kepada anak guamnya mengenai keadaan kesihatannya itu, kata peguam Rahmad Hazlan yang menyertai pasukan pembelaan diketuai Muhammad Shafee Abdullah pada peringkat rayuan.

“Pembelaannya tidak dilakukan dengan sebaiknya, seterusnya menyebabkan tertuduh disabitkan atas kesalahan itu,” kata Rahmat kepada FMT.

Menurutnya, Kedutaan Yaman kemudian meminta Shafee & Co mengendalikan rayuan kes itu.

Semalam, Yahya Hussein Mohsen Abdulrab yang juga seorang peguam, terlepas daripada tali gantung berhubung tuduhan mengedar 1.8kg methamphetamine. Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Tawau pada 11 pagi, 25 Julai 2013.

Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuannya untuk membatalkan sabitan oleh Mahkamah Tinggi disebabkan ketidakcekapan peguamnya ketika perbicaraan.

Panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat berkata, peguam bela yang sebelum ini mewakili Yahya adalah seorang yang “terlalu tidak cekap.”

Tengku Maimun berkata, keputusan itu berdasarkan bukti tambahan dibenarkan oleh Mahkamah Rayuan yang membuktikan ketidakcekapan peguam terbabit.

Mahkamah Rayuan dalam keputusannya berkata, peguam Yahya telah mengakibatkannya tidak mendapat perbicaraan adil seterusnya berlaku salah laksana keadilan.

Yahya dalam pembelaannya berkata, dia diminta membawa beg bimbit oleh seseorang bernama Mickey, susulan itu isu sejauh mana dia mengetahui kandungannya patut dibangkitkan peguamnya di peringkat perbicaraan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.