Langgar SOP Aidiladha, tindakan tegas tanpa kompromi, kata KPN

Langgar SOP Aidiladha, tindakan tegas tanpa kompromi, kata KPN

Sekiranya ada yang didapati melanggar SOP tindakan boleh diambil bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Acryl Sani Abdullah Sani berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang melanggar SOP perayaan Aidiladha.
PETALING JAYA:
Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani memberi amaran tindakan tegas diambil sekiranya terdapat individu melanggar SOP perayaan Aidiladha dengan mengadakan aktiviti ziarah, kunjung mengunjung dan merentas negeri.

Beliau berkata, sekiranya ada yang didapati melanggar SOP itu, tindakan boleh diambil bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Menjelang sambutan Aidiladha esok, polis ingin menasihati masyarakat agar sentiasa mematuhi SOP sektor sosial yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), pematuhan SOP ketat merupakan kunci kepada usaha melandaikan lengkuk jangkitan Covid-19,” katanya dalam kenyataan.

Acryl berkata, dalam menguatkuasakan SOP semasa Aidiladha, polis akan meningkatkan pemeriksaan dengan pasukan pemantau akan giat digerakkan di seluruh negara.

Katanya, fokus pemantauan adalah di kawasan perumahan dan lokasi tumpuan awam.

“Polis komited dalam mengambil tindakan tegas bagi memastikan segala SOP dipatuhi mana-mana pihak yang dikesan sengaja melanggar SOP, akan diambil tindakan tanpa kompromi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.