Lelaki pernah jadi mangsa ‘sex scam’, kini tawar khidmat seks palsu

Lelaki pernah jadi mangsa ‘sex scam’, kini tawar khidmat seks palsu

Penganggur cari mangsa menerusi aplikasi sembang, raih untung RM34,000 sejak mulakan aktiviti pada 2019.

Polis berkata lelaki itu berbual dengan orang secara rambang di aplikasi sembang dengan menawarkan ‘perkhidmatan seks’ sebelum mengugut mangsa.
GEORGE TOWN:
Seorang lelaki menjalankan perkhidmatan seks palsu menerusi aplikasi sembang selepas dia sendiri menjadi mangsa penipuan seumpama itu sehingga mengalami kerugian RM900, lima tahun lalu.

Penganggur berusia 24 tahun yang ditahan polis Pulau Pinang di kediamannya di Pontian, Johor, semalam, dipercayai meraih untung RM34,000 hasil melakukan penipuan itu sejak 2019.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Kamarul Rizal Jenal, berkata lelaki itu mencari mangsa dengan mengadakan perbualan bersama individu secara rambang di aplikasi sembang seperti WhatsApp, dan menawarkan perkhidmatan seks, serta memaparkan gambar wanita berpakaian seksi untuk meyakinkan orang disasarkannya.

Dia kemudian mengugut akan mengambil tangkap layar perbualan berkenaan dan menyebarkannya di Facebook melainkan mangsa membayar sejumlah wang.

Kamarul berkata, pihaknya merampas 28 kad SIM telefon bimbit di rumah lelaki itu. Suspek direman tiga hari dan kini disiasat kerana memeras ugut bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan.

Susulan penangkapan itu, pihaknya berharap dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya empat kes dilaporkan di Pulau Pinang dan Selangor. Beliau turut meminta sesiapa yang pernah menjadi mangsa supaya menghubungi polis.

Selain itu, Kamarul menasihatkan orang ramai tidak menggunakan media sosial untuk aktiviti tidak bermoral, atau bagi melakukan jenayah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.