
Menerusi perkongsian oleh pengguna Twitter dengan nama akaun, @perksofbeingsxf, video berdurasi kurang 10 saat itu, memaparkan sebuah tren LRT yang bergerak dengan laju tanpa pintunya ditutup terlebih dahulu.
Pemilik video itu juga sempat merakamkan reaksinya cemasnya ketika berada di dalam tren itu.
Difahamkan, kejadian tersebut berlaku kira-kira 3 petang semalam, dan tren tersebut dalam perjalanan dari stesen Ara Damansara menuju ke stesen Lembah Subang.
Bagaimanapun, tiada info lanjut yang diberikan oleh pihak Rapid KL. Video tersebut telah mendapat sekitar 171,000 tontonan pada jam 3 petang hari ini, selepas dua bulan insiden perlanggaran antara dua tren LRT yang mengakibatkan 47 penumpang cedera parah.
Seorang pelayar bernama @aniq8676, berkata situasi tersebut sangat berbahaya dan pengguna selepas ini perlu peka dengan memeriksa nombor tren jika ada masalah yang tak diingini berlaku.
“Bahaya itu, kita sebagai pengguna apa yang boleh buat adalah, sebelum naik tren boleh tengok nombor tren ataupun semasa di dalam tren boleh tengok nombor koc tren jika ada masalah yang tak diingini berlaku,” katanya.