Pelajar Malaysia di Jepun sambut Aidilfitri secara sederhana

Pelajar Malaysia di Jepun sambut Aidilfitri secara sederhana

Jepun sepatutnya menyambut hari raya esok, tetapi disebabkan negara Islam terdekat, iaitu Malaysia, menyambutnya hari ini, maka masyarakat Islam Jepun turut meraikannya hari ini.

KUALA LUMPUR:
Pelajar Malaysia di Jepun menyambut satu Syawal di perantauan secara sederhana, kerana sibuk dengan urusan kuliah.

Pelajar ijazah sarjana muda jurusan kejuruteraan mekanikal di Universiti Teknologi Nagaoka, Muhammad Khair Nadil Khairudin, 23, sempat solat sunat Aidilfitri di surau universiti, bersama kira-kira 40 orang lain.

“Selepas solat sunat hari raya bersama komuniti Islam di sini, saya dan rakan-rakan bergegas ke kelas kerana kami ada kuliah pagi. Surau universiti ini bukan sahaja digunakan pelajar Islam di sini, tetapi juga komuniti Islam berdekatan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Menurutnya komuniti orang Islam tersebut terdiri daripada pelbagai latar belakang dan berasal dari pelbagai negara seperti Malaysia, Indonesia, Senegal, Bangladesh dan Pakistan, selain Jepun sendiri.

Khair Nadil dan rakan-rakan tidak sempat melakukan sebarang persediaan seperti memasak juadah hari raya, kerana tidak menyangka Syawal di sambut hari ini, ditambah pula dengan komitmen lain sebagai pelajar.

Katanya Jepun juga sepatutnya menyambut hari raya esok, tetapi disebabkan negara Islam terdekat, iaitu Malaysia, menyambutnya hari ini, maka masyarakat Islam Jepun turut meraikannya hari ini.

“Kami sebenarnya sudah merancang untuk mengadakan jamuan pada hari raya pertama yang disangka esok, tetapi disebabkan satu Syawal jatuh pada hari ini kami tidak sempat membuat apa-apa persediaan seperti memasak jamuan hari raya untuk hari ini,” katanya.

Khair yang sudah dua tahun menyambut Aidilfitri di bumi matahari terbit itu berkata dia sangat merindui suasana hari raya di Malaysia kerana sambutannya lebih meriah.

“Suasana hari raya di Jepun dan Malaysia sangat berbeza. Saya rindu suasana hari raya di Malaysia, terutamanya pada makanan seperti rendang, ketupat dan lemang. Saya juga rindu untuk beraya bersama keluarga,” katanya dengan suara sayu.

Seorang lagi pelajar Malaysia di Jepun, Nuraiman Mustaqim Nurnasran, 22, berkata beraya di perantauan agak membosankan. dan tidak semeriah di Malaysia selain terpaksa berjauhan daripada keluarga.

“Kalau di Malaysia ada rendang, ketupat, lemang dan kuih-muih. Juadah hari raya inilah yang paling saya rindu selain untuk bersama keluarga,” katanya yang baru pertama kali beraya di Jepun.

Bagaimanapun, Nuraiman mengakui beraya di perantauan dan berjauhan daripada keluarga. mengajarnya untuk lebih tabah menghadapi cabaran serta hidup berdikari.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.