‘Bila masa sesuai henti eksport ayam, batal AP?’, menteri soal DAP

‘Bila masa sesuai henti eksport ayam, batal AP?’, menteri soal DAP

Alexander Nanta Linggi berkata keputusan menangani bekalan ayam dalam negara bukan dibuat secara melulu, malah dilakukan ikut keperluan.

Alexander Nanta Linggi berkata, keputusan kerajaan berhubung isu bekalan ayam dibuat mengikut keperluan, namun Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook, berkata keputusan itu dilakukan “tergesa-gesa”. (Gambar AP)
KUALA LUMPUR:
Tindakan kerajaan menghentikan eksport ayam termasuk membatalkan permit import (AP) bagi bahan makanan itu bukan keputusan secara melulu kerana dibuat berdasarkan keperluan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi.

Sambil mempersoalkan kenyataan DAP yang mengkritik langkah kerajaan itu, Nanta berkata, ketika ini adalah masa bersesuaian bagi tindakan sedemikian diputuskan.

“Kerajaan lihat pada keperluan. Kalau dia kata melulu terpulang pada dia (DAP). Kerajaan dan Kabinet ambil keputusan adalah berdasarkan keperluan kerana aduan bekalan ayam tak mencukupi.

“Kita pentingkan rakyat kita dulu. Jadi DAP kata begitu…bila masa yang sesuai?” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri KPDNHEP peringkat Kuala Lumpur di Pavilion Bukit Jalil.

Alexander Nanta Linggi.

Terdahulu, DAP menyifatkan keputusan kerajaan menghentikan eksport ayam dan membatalkan AP bagi bahan makanan itu sebagai satu langkah “tergesa-gesa”.

Setiausaha agungnya, Loke Siew Fook, berkata keputusan itu hanya menyelesaikan masalah jangka pendek isu bekalan ayam.

Semalam, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan eksport ayam sebanyak 3.6 juta ekor sebulan akan dihentikan mulai 1 Jun sehingga harga dan pengeluaran ayam kembali stabil untuk memberi keutamaan terhadap rakyat.

Dalam pada itu, Nanta berkata, kerajaan juga mengambil masa untuk menguatkuasakan larangan eksport ayam itu.

“Bukan hari ini umum, esok kita kuat kuasakan. Kita bagi ruang sedikit. Kalau bagi ruang terlalu lama nanti rakyat derita terlalu lama. Jadi DAP ini jangan politik sangat,” katanya.

Katanya mengulas lanjut, reaksi awam berhubung larangan eksport ayam adalah positif, manakala sebaliknya bagi pihak industri.

“Apa boleh buat sebab itu beri ruang beri masa sedikit bukan buat serta merta,” katanya.

Dalam perkembangan lain, ditanya mengenai Skim Kawalan Harga Keluarga Malaysia (SKHKM) yang akan tamat 4 Jun depan, beliau berkata, kerajaan belum membuat keputusan sama ada akan melanjutkanya atau tidak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.