
Loke berkata, Khairy adalah seorang tokoh politik yang berkaliber dan akan menjadi pesaing yang kuat di mana sahaja beliau bertanding.
“Saingan akan menjadi sengit dan (jika Khairy bertanding di Seremban) ia akan menjadi antara kerusi paling hangat pada PRU15,” katanya di Facebook.
Ahli Parlimen Seremban yang juga penyandang dua penggal kerusi itu berkata, beliau tidak gentar untuk menyahut cabaran terbabit dan bersedia mempertahankan kerusinya tanpa mengira siapa yang bertanding menentangnya.
“Biar pengundi menilai dan memutuskan sama ada saya kekal layak mewakili kepentingan mereka di Dewan Rakyat,” katanya.
Semalam, Pemuda Umno Seremban menggesa Khairy bertanding di kawasan itu, berikutan laporan bahawa timbalan presiden Mohamad Hasan mahu mengambil alih kerusi Rembau.
Khairy, yang menyandang kerusi Parlimen Rembau sejak 2008, telah berkata, beliau tidak akan bertanding pada PRU15 sekiranya tidak diberikan kawasan pilihan raya.
Katanya, beliau menerima satu mesej daripada Mohamad untuk “memberi laluan” sambil menambah bahawa beliau akan mematuhi arahan parti.
Mohamad yang juga timbalan pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, beliau berhasrat untuk bertanding di kerusi Parlimen untuk memainkan peranan di peringkat persekutuan.
Bekas menteri besar Negeri Sembilan itu yang menyandang kerusi DUN Rantau sejak 2004, tidak menyatakan kerusi parlimen mana yang ingin ditandinginya.
Rantau merupakan satu daripada empat kerusi DUN di bawah kawasan Parlimen Rembau.