Pengendali kes dera kanak-kanak perlukan latihan lebih baik, kata aktivis

Pengendali kes dera kanak-kanak perlukan latihan lebih baik, kata aktivis

Ia susulan kebimbangan terhadap kekurangan laporan kes.

Soalan dibangkitkan sama ada pegawai perlindungan kanak-kanak dilatih dengan betul.
PETALING JAYA:
Aktivis hak kanak-kanak menggesa penambahbaikan dalam latihan pegawai kebajikan sosial yang mengendalikan kes penderaan kanak-kanak berikutan kebimbangan yang disuarakan berhubung kes yang kurang dilaporkan.

Mereka berkata kakitangan yang terlatih dengan betul akan melihat kes disiasat, dikendalikan dan dilaporkan itu dengan lebih wajar.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Salam Ananti Rajasingam berkata terdapat beberapa kejadian di mana pegawai Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) melepaskan pendera dengan amaran dan pesalah terbabit berpindah untuk mengelak daripada dikesan.

“Dalam situasi itu, kes penderaan kanak-kanak tidak dilaporkan,” katanya kepada FMT, sambil menambah bahawa insiden sedemikian berlaku kerana pegawai tidak dilatih dengan betul.

Pegawai perlindungan kanak-kanak JKM bertanggungjawab mengeluarkan kanak-kanak itu dan menempatkan mereka di tempat yang selamat sambil menjalankan pemeriksaan dan siasatan menyeluruh, katanya.

Ananti mengulas laporan baru-baru ini oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengenai statistik penderaan kanak-kanak di negara ini.

Lebih seribu kes penderaan kanak-kanak direkodkan di seluruh negara pada separuh pertama tahun ini. Daripada jumlah tersebut, 706 kes melibatkan perempuan dan 349 lelaki. Lebih 400 adalah kes penderaan seksual.

Sementara itu, aktivis memberi amaran selama bertahun-tahun bahawa kekurangan laporan kes boleh menjadi isu dalam statistik penderaan kanak-kanak di negara ini.

Aktivis James Nayagam berkata kerajaan perlu melatih pegawai kebajikan masyarakat untuk mengendalikan kes seumpama itu.

Katanya, beliau pernah membuat laporan penderaan kanak-kanak dan pegawai yang mengendalikan talian hotline itu tidak profesional dalam menjawabnya, menyebabkan dia berasa “kekok”.

Pegawai talian hotline itu didakwa memintanya mendapatkan maklumat lanjut dan menyelesaikan kes itu sendiri.

“Pegawai di talian hotline mesti dilatih untuk mengendalikan panggilan secara profesional,” katanya.

Beliau menyarankan agar guru-guru terlibat dalam membantu kes penderaan kanak-kanak terutama dalam mendapatkan maklumat.

“Guru boleh dilatih menjadi fasilitator. Mereka boleh menggunakan seni, main peranan dan cara lain untuk menarik pelajar berkongsi pengalaman mereka,” katanya.

Jurucakap jabatan komunikasi korporat kementerian itu memberitahu FMT bahawa terdapat latihan tetap untuk kakitangan talian hotline bagi memastikan mereka mempunyai kemahiran dan sikap yang betul untuk mengendalikan panggilan kes penderaan kanak-kanak.

Beliau berkata orang ramai boleh membantu menambahbaik perkhidmatan kebajikan masyarakat dengan memberi input melalui sistem pengurusan aduan awam (SISPAA) kementerian. Mereka juga boleh menghantar e-mel ke [email protected].

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.