Gempa di Papua New Guinea, seorang disah terbunuh

Gempa di Papua New Guinea, seorang disah terbunuh

Gempa bumi telah mencetuskan kejadian tanah runtuh menyebabkan kediaman di perkampungan di Banjaran Finisterre tertimbus.

Gempa bumi di Papua New Guinea berukuran 7.6 skala Richter berlaku pada kedalaman 70km, menurut Pusat Rangkaian Gempa Bumi China (CENC).
SYDNEY:
Sekurang-kurangnya seorang disahkan maut selepas gempa bumi berukuran 7.6 pada skala Richter melanda Papua New Guinea, lapor Xinhua memetik media tempatan.

Gempa bumi pada 7.46 pagi waktu tempatan itu telah mencetuskan kejadian tanah runtuh dan menyebabkan kediaman di perkampungan di Banjaran Finisterre tertimbus, seorang disahkan maut, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).

Laman sesawang digital tempatan Loop negara itu memaklumkan gegaran turut dirasai di wilayah Lembah Markham, Lae termasuk bandar Kainantu di wilayah Highlands timur, dan di Port Moresby serta beberapa bahagian lain.

Gempa bumi juga telah menjejaskan bekalan kuasa di kawasan berkenaan.

Mission Aviation Fellowship (MAF) Papua New Guinea telah menghantar sebuah pesawat untuk memindahkan empat mangsa yang mengalami kecederaan.

Perdana Menteri Papua New Guinea James Marape yang bimbang dengan kesan akibat gempa itu menasihatkan orang ramai supaya bertenang dan mengambil langkah berjaga-jaga.

Pasukan pertahanan negara itu dan polis telah diarah siap siaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

Marape berkata, pihaknya akan mengumumkan pelan tindakan awal sementara menunggu laporan penuh mengenai kerosakan dan jumlah mangsa yang terjejas.

Pusat gempa bumi dilaporkan pada 6.30 darjah selatan dan 146.55 darjah timur, pada kedalaman 70km, menurut Pusat Rangkaian Gempa Bumi China (CENC).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.