
“Jika Bersatu dan PAS kedua-duanya degil dan hanya mahu dengar cadangan diri sendiri yang hanya mengambil kira dan pentingkan keuntungan diri sendiri saja, maka lebih baik mereka bersama-sama kekal dalam PN tanpa bekerjasama dengan sesiapa dalam pilihan raya umum akan datang.
“Dengan ini menang atau kalah, mereka bersama tanpa menipu atau memuslihat orang lain untuk kepentingan diri sendiri,” katanya menerusi catatan di Facebook.
Beliau turut mengulangi gesaan untuk PAS meninggalkan Bersatu, jika mahu bersama Umno.
“Sebab jika Umno terima PAS dan PAS masih ingin pikul pengkhianat Bersatu tersebut, kita semua akan terkena getah dan bersama-sama pula dihukum rakyat dalam pilihan raya kelak, sebab rakyat tolak pelompat parti dan penipu manifesto, iaitu Bersatu.
“Ini bukanlah sesuatu tindakan yang bijak buat Umno dan Barisan Nasional. PAS tidak boleh harapkan dana dari Muhyiddin Yassin dan pada masa sama, minta kerusi dari Umno untuk makan keliling dan kira untung saja.
“Itu bukanlah strategi dalam adat persahabatan yang ikhlas, namun strategi pengambil kesempatan orang-orang yang tidak boleh dipercayai. Sesuatu parti tidak boleh kira untung saja, walaupun orang lain rugi dan ditipu atas alasan kononnya untuk penyatuan ummah.”
Katanya, jika Bersatu ikhlas ingin menyatukan orang Melayu, parti pimpinan Muhyiddin itu perlu dibubarkan dan semua pemimpin serta ahli kembali ke pangkuan Umno terlebih dahulu.
“Cukuplah ada dua parti besar Melayu, iaitu Umno dan PAS. Jika ada banyak parti serpihan Melayu, orang-orang Melayu akan lebih bertelingkah dan berpecah belah,” katanya mengulas saranan pemimpin PAS supaya Umno bekerjasama dengan parti itu dan Bersatu bagi menghadapi PRU15 demi menghalang Pakatan Harapan kembali menjadi kerajaan.