
Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul, menangguhkan sidang selepas Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail membentangkan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2024 untuk bacaan kali kedua, yang dijangka dibahas dan diundi hari ini.
Perkara ini menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan Ahli Parlimen pembangkang dengan Shahidan Kassim (PN-Arau) menyarankan agar perbahasan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2024 diteruskan pada hari ini.
“Bincang hari ini lah, kalau berani. Penakut,” katanya secara berseloroh.
Hari ini ialah hari terakhir sidang Dewan Rakyat yang telah berlangsung selama 19 hari bermula 26 Feb. Dewan Rakyat akan kembali bersidang pada 24 Jun hingga 18 Julai.
Terdahulu dilaporkan, sidang Dewan Rakyat ditangguhkan sementara pada 1 tengah hari tadi, selepas tiga Ahli Parlimen membahaskan RUU Keselamatan Siber 2024.
Tindakan ini mencetuskan tanda tanya dalam kalangan Ahli Parlimen pembangkang, dengan Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) menegaskan bahawa masih ada urusan kerajaan yang belum selesai.
“Hari ini hari terakhir. Ada urusan kerajaan belum selesai lagi. (RUU) pindaan Perlembagaan pun ada (untuk dibincangkan). Apa rahsianya?” soalnya.
Timbalan Speaker, Ramli Mohd Nor, yang menangguhkan sidang berkata, beliau hanya melaksanakan tugas mengikut Peraturan Mesyuarat untuk menangguhkan mesyuarat ke 2.30 petang memandangkan tiada usul penangguhan daripada pihak kerajaan.
Sementara itu, pada sidang media selepas sidang Dewan, wakil rakyat pembangkang mempertikaikan tindakan kerajaan tidak menghantar usul baharu bagi melanjutkan tempoh persidangan agar “topik penting” dapat dibahaskan secara menyeluruh.
Takiyuddin menyifatkan penangguhan sidang Dewan hari ini sebagai “drama terbaik” dimainkan kerajaan agar RUU berkenaan tidak selesai.
“Rakyat sedang menunggu topik amat penting mengenai pindaan Perlembagaan berkaitan kewarganegaraan,” katanya.
“Kalau urusan kerajaan disenaraikan dalam aturan urusan mesyuarat, (ia) perlu diselesaikan walaupun sehingga pagi,” katanya sambil menambah, perkara ini pernah dilakukan pada penggal terdahulu.
Beliau turut mendakwa, kegagalan RUU berkenaan dibahas dan diundi hari ini membuktikan kerajaan gagal mendapat perkenan Majlis Raja-Raja bagi cadangan pindaan tersebut, seperti yang termaktub dalam Perkara 159(5) Perlembagaan Persekutuan.