Usah jadikan kenaikan kos global modal politik, kata Zahid

Usah jadikan kenaikan kos global modal politik, kata Zahid

Timbalan perdana menteri berkata situasi semasa berpunca krisis global khususnya ketegangan di Asia Barat yang beri kesan langsung kepada harga bahan api.

zahid hamidi
Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi berkata jangan asyik guna masalah global sebagai kesalahan pihak kerajaan. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi menggesa semua pihak tidak menjadikan isu kenaikan kos akibat ketidaktentuan global sebagai modal politik sebaliknya bersama kerajaan mencari jalan menangani tekanan ekonomi semasa.

Katanya, situasi semasa berpunca daripada krisis global khususnya ketegangan di Asia Barat yang memberi kesan langsung kepada harga bahan api dan tenaga, sekali gus meningkatkan beban subsidi kerajaan.

“Cubalah mereka pergi ke Selat Hormuz sekarang atau cuba ke negara Barat dan lihat sendiri. Kita bernasib baik sebenarnya.

“Jangan asyik guna masalah global ini sebagai satu kesalahan pihak kerajaan, ini hakikat yang perlu kita terima. Saya beritahu jangan menuding jadi sebaliknya kena sama-sama mencari jalan,” katanya selepas perhimpunan bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Zahid yang juga menteri kemajuan desa dan wilayah berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan pembangkang yang memainkan isu kenaikan harga bahan api.

Katanya, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dijadual mengadakan pertemuan dengan semua menteri besar dan ketua menteri bagi menjelaskan situasi ekonomi semasa supaya kerajaan negeri turut memahami cabaran sedang dihadapi negara.

Dalam pada itu, Zahid berkata KKDW menstrukturkan semula pelaksanaan program tahun ini dengan memberi keutamaan kepada projek benar-benar kritikal untuk masyarakat luar bandar.

Menurutnya, langkah itu bertujuan memastikan agenda penting seperti penjanaan pendapatan dalam kalangan usahawan kecil dan sederhana, terutama usahawan mikro, dapat diteruskan walaupun kerajaan mengambil pendekatan penjimatan.

“Kita dijangka dapat buat penjimatan dalam beberapa program yang dilakukan, penjimatan ini bukan mahu mengecilkan apa yang kita lakukan tapi menstrukturkan semula kaedah pelaksanaan yang dilaksanakan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.