Rasuah dan senjata api berjalan seiring

senjataHarapkan pagar, pagar makan padi. Itulah perumpamaan paling sesuai untuk mencerminkan sikap sesetengah anggota penguat kuasa yang gagal menjaga sempadan negara.

Baru-baru ini, Bernama memetik seorang pengedar senjata api tempatan, yang mendedahkan bukan sahaja senjata api, malah manusia juga boleh diseludup ke Malaysia dengan mudah.

Menurutnya, senjata api boleh diseludup dengan mudahnya tanpa meleraikannya atau berdepan risiko ditahan, jika penyeludup mengenali pegawai kerajaan yang boleh dirasuah.

“Kenali orang yang betul, siapa yang perlu dirasuah dan waktu kerja mereka. Mereka akan bawa masuk senjata api itu ke dalam negara dan apa yang anda perlu lakukan hanya bayar mereka,” kata pengedar senjata api tempatan itu.

Pembeli senjata api itu biasanya adalah anggota geng kongsi gelap, samseng dan penjenayah, khasnya pembunuh upahan melalui penyeludupan di sempadan negara, termasuk Sungai Golok dan Padang Besar.

Pendedahan ini menunjukkan betapa lemahnya penguatkuasaan di sempadan negara disebabkan sebilangan anggota penguat kuasa yang “naik lemak” kerana menyandang sesuatu jawatan itu terlalu lama, sehingga mereka berani bersuhabat dengan penyeludup dan seterusnya membenarkan pelbagai barangan diseludup ke negara ini, termasuklah senjata api.

Selain menambah jumlah anggota berintegriti dan menukarkan anggota penguat kuasa di sempadan negara tidak melebihi tiga tahun sekali seperti yang disarankan Pengarah Institut Jenayah dan Kriminologi di Universiti Help Datuk Akhbar Satar, kerajaan juga perlu menambah peruntukan untuk membeli peralatan baharu.

Alat pengesan logam atau peralatan sinaran x wajib digunakan di semua pintu masuk negara, khasnya sempadan negara yang amat luas dan sukar dikawal, bagi memastikan penjenayah tidak berpeluang menghancurkan Malaysia.

Kerajaan juga boleh melaksanakan penilaian dari segi psikologi atau ujian pengesan bohong ke atas anggota penguat kuasa secara rambang bagi memastikan kejujuran sentiasa menjadi keutamaan ketika menjalankan tugas untuk mengelakkan penyalahgunaan kuasa dan rasuah berleluasa.

Senjata api yang begitu mudah diperolehi adalah faktor mendorong kewujudan kumpulan pembunuh upahan, selain penjenayah dan geng kongsi gelap turut menukar penggunaan senjata tajam kepada senjata api.

Bukan itu sahaja, penjenayah juga semakin berani sehingga ada yang mengiklankan perkhidmatan pembunuh upahan dan menyewa senjata api di laman web gelap, di mana kos sewa senjata api berharga RM500 hingga RM1,000 sehari.

Sehingga kini, lebih 16 kes tembakan direkodkan sepanjang tahun ini yang bermakna purata lebih satu kes tembakan berlaku setiap bulan.

Kes terbaru berlaku petang 7 Ogos lalu, apabila seorang pekerja lelaki Bangladesh di sebuah stesen minyak di Jalan Genting Klang, Setapak, nyaris maut selepas satu daripada tiga das tembakan dilepaskan seorang penyamun terkena kakinya.

Mujurlah rakan sekerja mangsa dan orang ramai yang berada di stesen minyak itu bertindak berani dan pantas untuk menangkap suspek terbabit yang dilaporkan meminjam pistol jenis Revolver daripada rakannya untuk menyamun.

Ini adalah kejadian tembakan kedua dalam tempoh kurang dua minggu di kawasan setapak, selepas seorang lelaki ditembak mati di hadapan pusat beli-belah Setapak Central pada 27 Julai lalu.

Disebabkan senjata api mudah diperolehi, maka penyamun atau perompak yang menggunakan senjata tajam seperti pisau atau parang untuk melakukan jenayah dahulu pun ‘menaik taraf’ menggunakan senjata api.

Keadaan ini amat membimbangkan dan menunjukkan Malaysia tidak lagi aman serta selamat seperti dahulu kala.

Sehubungan itu, kerajaan perlu bertindak segera sebelum keadaan menjadi tidak terkawal dan terlambat. Cegah sebelum parah.