Defisit keyakinan dan pengajaran daripada krisis air Selangor

Water-Disruption-SelangorApakah pengajaran daripada keadaan kelam kabut Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dalam menurus kesusahan orang ramai sepanjang krisis air yang terbaru ini?

Ada beberapa perkara yang boleh dijadikan pengajaran.

Salah satu daripadanya, jangan percaya pada pengumuman Syabas, mahupun jadual bekalan air akan dipulihkan. Ia terbukti tidak boleh digunakan sebagai rujukan sepanjang minggu ini.

Umpamanya, “berita baik” yang diumumkan sebagai “loji sudah dibuka semula” bukan bermaksud rumah anda akan mendapat air. Setakat ini tiada siapa yang tahu, umpamanya berapa lamakah untuk air dari Loji Rawatan Air Semenyih akan tiba di kawasan Subang Jaya selepas loji dibuka semula pada 3.15 petang.

Apabila loji ditutup 4.15 petang, anda hanya dimaklumkan sekitar 11.00 malam melalui satu kenyataan media yang tidak membawa penyelesaian apa-apa.

Jangan juga anda bergantung pada jadual lori tangki air untuk bekalan air sementara buat kediaman anda. Anda tiada cara untuk mengetahui bilakah lori tangki air akan datang dan di mana ia akan berhenti. Berusahalah sendiri mencari stesen minyak di bandar jiran yang mempunyai bekalan air untuk mengambil air sebagai bekalan sementara.

Tak perlu membazir masa anda menelefon Syabas. Sama ada telefon tidak akan dijawab, atau anda akan diberi jawapan mereka tidak tahu bila bekalan air akan dipulihkan.

Anda juga tidak perlu membazir tenaga menghantar SMS untuk meminta bekalan air sementara, kerana ia langsung tidak berkesan seperti mana yang diharapkan.

Anda dinasihatkan jangan mengganggu Adun anda jika tiada air. Kalau anda tulis komen marah-marah di Facebook mereka, penyokong mereka akan berkata ini angkara musuh yang mahu rakyat marah pada kerajaan.

Anda harus mengumpulkan sebanyak mungkin botol 5-liter yang ada mulai sekarang dan pastikan ia dipenuhkan dengan air. Walaupun bekalan air disambung semula, anda tidak tahu bila ia akan putus lagi.

Jangan sesekali menjirus tandas menggunakan pam tandas untuk mengurangkan penggunaan air daripada tangki. Gunakan bekas kecil dari baldi air yang ada. Terimalah, warna kuning adalah piawai tandas bersih ketika krisis air.

Anda hanya memerlukan 5-8 liter air untuk sekali mandi. Sediakan 2 baldi ketika mandi. Satu baldi untuk menakung air bersih untuk mandi. Satu baldi kosong untuk menakung air yang digunakan untuk mandi.

Ketika mandi, pastikan air yang dijirus ke badan berakhir di baldi kosong itu. Air yang ditakung itu boleh digunakan untuk menjirus tandas. Ini dipanggil 2 dalam 1.

Saya bukanlah nak menyindir sangat. Tapi pengalaman 7 hari (yang masih belum berkesudahan) hidup dalam keadaan tiada air di Selangor ini amat mengganggu emosi.

Walaupun ramai yang ingin pencemar sungai ditangkap, mereka juga menuntut pihak pengurusan Syabas meletak jawatan serta-merta kerana kekecewaan yang amat sangat terhadap janji dan maklumat pelan pemulihan yang tersasar jauh.

Jika anda lupa, Syabas sudah dimiliki Pengurusan Air Selangor sejak 2014. Selain menteri besar Selangor yang duduk bersama beberapa wakil Kumpulan Perangsang, menurut maklumat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Adun Seri Andalas, Dr Xavier Jayakumar and Adun Damansara Utama, Yeo Bee Yin juga adalah di antara pengarahnya – dan bukannya Adun Subang Jaya Hannah Yeoh mahupun Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong yang kelihatan sedang bekerja keras menyelesaikan masalah krisis air terbesar kali ini.

Apa pun, kerajaan Selangor kini menghadapi defisit kepercayaan rakyat yang serius terhadap pengurusan air ketika krisis, seperti mana cara Malaysia mengendalikan krisis MH370.

Rakyat Selangor kini perlu diyakinkan dengan jaminan – sekurang-kurangnya rakyat tahu bekalan air mereka tidak akan terputus lagi melebihi 2 hari sekiranya pencemaran air berulang semula di mana-mana sungai yang membekalkan air mentah ke loji.

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.