Menyingkap mentaliti penyokong RUU 355

Menyingkap mentaliti penyokong RUU 355

Rakyat Malaysia berbilang bangsa dan agama. Sakit sesuatu bangsa, maka sakitlah juga bangsa lain, tetapi hujah penyokong usul Hadi tidak mengambil kira kenyataan ini.

hadi-awang

Rang undang-undang persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) adalah usaha Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang meluaskan had hukuman bidang kuasa mahkamah syariah melalui usul persendirian.

Perubahan yang dicadangkan Hadi adalah radikal. Antara lain, beliau mahu had denda diubah daripada RM5,000 kepada RM100,000, bilangan sebatan daripada 6 kepada 100, dan tempoh hukuman penjara daripada 3 kepada 30 tahun. Di bawah pindaan ini, cuma hukuman mati sahaja yang tidak boleh diberi mahkamah syariah.

RUU 355 kini ditunda dan akan diusulkan pada Mac 2017. Mengapa? Kononnya, Hadi dan PAS ingin mengkaji semula pindaan yang ingin dilakukan.

Yang menghairankan, semua pindaan ini dilakukan atas nama Tuhan, jadi apakah selama ini mereka tidak mengetahui hukuman Al-Quran dan Hadis?

Jika mereka terpaksa merumuskan semula dengan sendiri, adakah ia masih hukum Tuhan?

Begitulah sorakan murid sekolah agama yang disuruh berdiri di tepi jalan sambil menyanyi salawat dan memegang sepanduk meminta “hukum Tuhan” dikurniakan kepada mereka.

Bukan PAS sahaja di kalangan puak sebegini yang mahu melaksanakan pemahaman Islam mereka ke atas orang lain.

Kini, NGO Islam tumbuh merata. Satu daripadanya Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) yang menggandingkan perjuangan Islam dengan unsur kaum. Ini perjuangan yang pelik, kerana Nabi Muhammad jelas menolak nasionalisme Arab dalam perjuangannya, seperti mana ditolaknya rasisme dan penindasan terhadap orang berkulit hitam. Mungkin penyokong mereka tidak pernah mendengar tentang khutbah al-wida’ dan kisah seorang hamba bernama Bilal.

Timbalan Presiden Isma, Aminuddin Yahya menukilkan rasa sedihnya tentang respon kepada RUU 355 daripada rakyat Malaysia, Islam dan bukan Islam. Kita dapat menyingkap pemikiran Isma dan memahami mengapa mentaliti mereka merupakan ancaman kepada masyarakat Malaysia.

Aminuddin tersentap kerana bukan Islam menentang usul Hadi. Pada Aminuddin, mereka tidak perlu menentang usul ini kerana ia tidak melibatkan mereka langsung. Mentaliti ini amatlah sempit dan ia menunjukkan yang Isma melihat orang bukan Islam (baca: bukan Melayu juga!) sebagai entiti yang asing daripada majoriti penduduk Malaysia.

Di manakah silapnya? Rakyat Malaysia berbilang bangsa dan agama. Sakit sesuatu bangsa, maka sakitlah juga bangsa lain jika kita benar-benar rakyat yang saling mengasihi antara satu dengan lain.

Bagaimana perasaan orang bukan Islam apabila melihat rakan Islam mereka disebat seperti yang dilakukan di Acheh? Serupa kita umat Islam akan terasa apabila melihat upacara suttee di mana balu Hindu dibakar hidup-hidup dengan mayat suami mereka, amalan yang kini diharamkan.

Kita sebagai manusia, insan pengasih dan penyayang akan terasa perit manusia lain. Aminuddin lupa hakikat ini.

Rakyat Malaysia yang bukan Islam juga sedar yang sistem syariah bukanlah entiti yang akan berhenti mengembangkan pengaruh mereka di situ sahaja. Mereka sedar yang akhirnya, syariah akan menelan sistem perundangan Malaysia dengan keseluruhan jika tidak dikawal.

Presiden Isma Abdullah Zaik pernah menyatakan yang hukum hudud adalah untuk semua, tak kira agama. Kita berterima kasih kepada Abdullah kerana kejujurannya. Sememannya pemikiran sebegini bertujuan mengawal semua lapisan rakyat.

Isma turut membidas umat Islam yang dikatakannnya kurang berilmu. Kononnya, orang Islam terlalu takut kepada pandangan bukan Islam. Orang Islam juga terlalu mudah dipengaruhi media sosial yang menggunakan retorik untuk memenangi pengaruh ke atas mereka. Kerana inilah orang Islam tidak menyokong RUU 355.

Saya memang bersetuju kalau orang Melayu disaran berfikiran kritis dan tidak menelan retorik media sosial, tetapi bagaimana pula fikiran kritis terhadap Hadi dan ulama seangkatan? Mengapa mereka diberi pas percuma menakluki minda Melayu?

Umpamanya, kita boleh bertanya, kenapa PAS tertumpu kepada pindaan akta hukuman sahaja? Adakah hukuman itu sebahagian besar daripada isi kandungan Al-Quran? Sebenarnya tidak.

Jika kita memberi anggaran jumlah ayat dalam Al-Quran yang boleh dikira sebagai hukum, bilangannya mungkin kira-kira 50 sahaja, iaitu lebih kurang 1% daripada isi kitab suci ini! Yang 99% lagi, kenapa tiada usul?

Umpamanya, usul membasmi kemiskinan. Kenapa gejala ini tidak diharamkan juga? Malahan kita pernah dengar ahli politik yang cuba menghalang rakyat daripada menolong orang susah sebegini! Kenapa PAS tidak memberi respon pada masa itu?

Tidak lupa juga isu pembalakan di Kelantan. Penjagaan alam sekitar adalah begitu penting dalam peranan kita sebagai khalifah di muka bumi tetapi PAS tidak peduli langsung dalam bab ini.

Sebenarnya, apa yang didahagakan sesetengah agamawan adalah kuasa. Mereka menggunakan hukum-hakam Arab kuno yang dijenamakan semula sebagai hukum Tuhan.

Eloklah kita menolak strategi mereka untuk menguasai Malaysia. Apa yang akan dibawa mereka hanyalah mudarat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.