
Sekiranya rayuan ditolak, maka dalam keadaan demikian, perintah pembubaran sementara ini akan menjadi mutlak dan PPBM akan dibatalkan pendaftarannya.
Sebenarnya, sebelum JPPM membuat keputusan, Plan B Tun Dr Mahathir Mohamad telahpun dilaksanakan, iaitu memaksa semua calon Pakatan Harapan (PH) menggunakan satu lambang. Lambang yang telah dipilih ialah lambang PKR.
Meskipun parti kini terbubar sementara, ahli-ahli PPBM tidak akan menyertai mana-mana parti komponen PH.
Tempoh 30 hari yang diberikan JPPM semestinya akan melepasi tarikh penamaan calon yang belum lagi diisytiharkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Ini bermakna semua calon PPBM seperti bekas pengerusi Bersih, Maria Chin Abdullah, di mana beliau akan bertanding sebagai calon bebas atas logo PKR serta tidak terikat kepada mana-mana parti.
Sekiranya PH dapat menakluki Putrajaya, sudah tentu semua calon PPBM yang menang akan kekal bersama PH dan mentadbir negara.
Andai kata, PH tidak dapat menakluki Putrajaya, ke manakah ahli Parlimen dan adun bebas daripada PPBM ini akan bertapak, sekiranya PPBM kekal statusnya terbubar?
Meskipun keputusan JPPM untuk membubarkan PPBM dibuat pada saat-saat akhir menyebabkan Dr Mahathir dapat memainkan kad simpati untuk meraih undi, tapi kelonggaran yang tercipta kepada semua calon PPBM untuk memilih antara BN dan PH selepas keputusan pilihan raya umum ke-14 (PRU14) kini terbuka luas, ekoran tindakan JPPM.
Penasihat Undang-undang PPBM, Mohamed Haniff Khatri Abdulla pernah mengumumkan partinya akan melaksanakan perjanjian mengikat calon wakil rakyat mereka daripada melompat parti selepas menang PRU14.
Masalahnya, sekiranya PPBM tidak lagi wujud selepas PRU14, apakah perjanjian taat setia ini masih sah?
Jika tidak, apakah semua calon PPBM sanggup menandatangani perjanjian taat setia dengan parti lain seperti PKR, memandangkan PH bukan lagi satu entiti yang sah dari sudut undang-undang?
Apakah janji taat setia yang boleh dibuat antara seseorang bebas dengan sebuah parti yang tidak dianggotainya, memandangkan ahli PPBM tidak akan menyertai mana-mana parti komponen PH?
Semua persoalan ini agak merumitkan.
Tapi persoalan yang lebih besar ialah mampukah mereka ini bertahan hidup sebagai pembangkang sekiranya PH tewas?
Realitinya, ahli PPBM adalah bekas ahli dan pimpinan Umno yang belum pernah menjadi pembangkang atau hidup sebagai pembangkang. Mereka tidak mengerti dan mengalami kesusahan menjadi ahli Parlimen mahupun adun pembangkang tanpa peruntukan selama 5 tahun.
Jika BN sebagai pemegang kuasa di persekutuan membuat tawaran kepada mereka, apakah ahli Parlimen dan adun bebas PPBM ini akan menolak dan sudi terus bersama Dr Mahathir yang berkemungkinan besar tidak berperanan lagi selepas kekalahan pada PRU14?
Guna mata, tanya hati.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.