Pengundi Melaka perlu pencerahan daripada PN, BN

Pengundi Melaka perlu pencerahan daripada PN, BN

Semua ketua parti perlu turun ke Melaka dan menjelaskan tindak-tanduk mereka sejak 2018, atau lebih tepat sejak PRU14.

Mungkin ramai pengundi di Melaka telah pun membuat keputusan awal tentang siapa calon yang mereka bakal undi pada PRN 20 November nanti.

Pada masa sama, saya juga rasa masih ramai yang belum membuat keputusan. Mungkin kerana PRN kali ini memberi banyak pilihan; persaingan tiga, empat, lima, dan enam penjuru yang bukan sahaja agak unik tetapi juga mengelirukan.

Dengan begitu ramai calon bertanding sehingga mengelirukan pengundi, saya benar-benar berharap ketua-ketua parti yang terlibat akan turun ke Melaka untuk memberi penjelasan tentang tindak-tanduk mereka sejak 2018, atau lebih tepat sejak PRU14.

Pengundi Melaka memerlukan pencerahan kerana pemimpin politik memilih pengundi negeri itu dalam percaturan politik terbaharu bagi memperolehi kuasa.

Pemimpin berkenaan bertanggungjawab menjelaskan bagaimana negara terjemurus dalam konflik atau kemelut politik, ekonomi, dan sosial berpanjangan dan kenapa pilihan raya dijadikan permainan bagi mereka untuk beradu kuasa.

Penjelasan itu penting bukan saja untuk pengundi Melaka tetapi juga masyarakat Malaysia seluruhnya.

Kestabilan politik

Seperti banyak yang telah diperkatakan, Malaysia sekarang dibelenggui berbagai masalah yang berpaksi kepada pentadbiran kurang cekap dan ekonomi yang merudum.

Ramai merungut tentang kesukaran untuk mendapatkan pekerja asing, misalnya.

Pelaburan asing semakin beralih ke negara jiran. Nilai matawang merudum berbanding USD serta penutupan premis perniagaan di sekeliling kita antara faktor yang menghakis keyakinan masyarakat terhadap kerajaan hari ini.

Keadaan sebegini sedikit sebanyak berpunca dari keadaan politik yang tidak stabil dan pertukaran tiga teraju kerajaan sejak PRU14.

Sampai sekarang pun kita tidak pernah diberi gambaran yang jelas tentang apa sebenarnya yang kerajaan sekarang mahu. Kita tahu siapa terlibat dengan Langkah Sheraton yang menjadi punca kejatuhan kerajaan PH.

Tetapi pihak yang terlibat seperti Mahiaddin Yasin sendiri hanya menawarkan penjelasan agak kabur tentang kenapa beliau menjatuhkan Mahathir dan PH.

Setelah menjadi perdana menteri, Mahiaddin dilihat mengelak berdepan dengan soalan panas daripada media. Beliau dilihat tiada keyakinan untuk membuka ruang perbahasan dan memberi peluang untuk media menyoal tentang Langkah Sheraton itu.

Soalan-soalan media, yang mewakili rakyat yang ingin tahu, hanya boleh terjawab sekiranya perdana menteri mengadakan sidang media terbuka dan menjawab soalan-soalan tanpa sekatan atau tapisan.

Media, khususnya portal berita, tidak diberikan ruang atau kebebasan ini sepanjang Mahiaddin menjawat jawatan perdana menteri. Malah Parlimen juga ditutup atas alasan Covid-19.

Sekarang semestinya masa yang sesuai untuk Mahiadin berterus-terang dengan pengundi Melaka.

Kenapa Langkah Sheraton berlaku dan kenapa PH, rakan politik beliau sewaktu PRU14, “ditikam” sebegitu rupa?

Inilah peluang dan masa untuk Mahiaddin berterus-terang di Melaka, sekiranya beliau mahu pengundi mengundi calon daripada Bersatu-PN.

Begitu juga dengan mereka yang ghairah menyokong Mahiaddin seperti Azmin Ali, Zuraida Kamaruddin, dan konco-konco mereka yang berpaling tadah dan meninggalkan PKR.

Mereka ini mesti datang ke Melaka dan memberi pencerahan tentang apa yang telah berlaku. Sila perjelaskan supaya pengundi di Melaka faham rasional di sebalik Langkah Sheraton yang disertai mereka.

Penjelasan dari satu pihak sahaja iaitu dari PKR atau PH mungkin berbeza.

Jadi inilah masa yang sesuai untuk semua mereka yang terlibat – PH, PN, dan BN – turun padang dan berdepan dengan pengundi dan media, serta menjawab pelbagai tuduhan dan keraguan pengundi.

Sekiranya pengundi tidak puas hati dengan penjelasan para pemimpin ini, parti mereka mungkin ditolak pengundi, namun demokrasi akan kembali subur.

Lompat parti

Satu lagi kumpulan yang mesti turun padang dan memberi pencerahan ialah bekas ahli-ahli Umno yang berpaling tadah, meninggalkan Umno dan masuk Bersatu-PN.

Hamzah Zainudin, Mustapha Mohamed, dan beberapa kerat lagi bekas ahli Umno ini mesti beri penjelasan kenapa mereka turut serta dan memberi sokongan kepada Mahiaddin. Kenapa mereka meninggalkan Umno setelah begitu lama berjuang?

Setelah diterima oleh Dr Mahathir Mohamad untuk masuk Bersatu, mereka bersekongkol untuk menjayakan Langkah Sheraton sehingga Mahathir, pengasas Bersatu, disingkir daripada partinya sendiri.

Ini dilakukan oleh ahli-ahli baharu yang melompat parti dari Umno. Bagaimana ini boleh terjadi? Apakah ada perancangan lain yang kita semua tidak tahu?

Rakyat Melaka dan negara seluruhnya mahukan penjelasan sebelum mereka memberi undi mereka lagi kepada Bersatu-PN.

Banyak persoalan timbul mengenai kiblat politik pemimpin Bersatu dan PN yang menuntut penjelasan daripada mereka.

Apa sebenarnya yang telah terjadi?

Mengapa mereka menyokong kuat Ismail, Perdana Menteri dari Umno – parti yang menjatuhkan Mahiaddin – dan pada masa sama menentang Umno di PRN Melaka?

‘Spoiler’ PH

Pengundi Melaka pastinya keliru dengan keadaan politik dan pendirian bercanggah mereka ini. Apakah PN ini dibentuk untuk membantu Umno berkuasa semula?

Apakah PN dipertaruhkan sebagai “Trojan Horse” Umno untuk memecah undi PH atau sebagai “spoiler” sahaja?

Kenapa PAS menyebelahi PN?

Sekiranya PAS menang, apakah PAS akan meninggalkan PN dan bekerjasama semula dengan Umno. Itukah tujuan sebenar PAS dan juga Umno?

Umno juga mempunyai banyak masalah dalaman dan perlu berterus-terang dengan pengundi.

Apa pula peranan Ismail sebagai PM? Apa pula peranan Keluarga Malaysia yang beliau laung-laungkan itu?

Rakyat perlu tahu perkiraan atau percaturan politik BN dan PN ini. Mereka sekutu dalam kerajaan sekarang. Kenapa mereka berlawanan sesama sendiri di Melaka. Inikah yang dipanggil “perangkap dua mata” untuk mengalahkan PH?

Politik bukanlah pertarungan pelbagai helah atau muslihat untuk terus berkuasa dan memegang jawatan.

Bagaimana dengan masa depan anak-anak muda dan generasi akan datang? Apakah mereka itu semua tidak penting buat negara dan dalam konsep Keluarga Malaysia tersebut?

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.