
Pagi itu seperti pagi-pagi sebelumnya saya memandu kereta dari rumah yang terletak di pinggir ibu kota menuju ke tempat kerja di pusat bandar raya. Saya sentiasa ditemani stesen radio kegemaran dalam perjalanan ke pejabat sebagai pengubat rasa rimas. Celoteh penyampai radio dan lagu-lagu yang diputarkan mengisi keresahan saya di dalam kereta yang memang menyampah bertarung dengan kesesakan trafik saban hari.
Tetapi pagi itu lain. Saya tiba-tiba menyedari ia tidak seperti selalu. Saya memerhati kiri dan kanan. Mengapa perjalanan hari ini agak lancar? Memang kenderaan masih banyak tetapi tidak tersangkut-sangkut dan cukup melegakan.
Seperkara lagi, saya mula perasan sejak saya memasuki kereta sehinggalah sudah separuh perjalanan, ada sedikit pelik dengan stesen radio yang saya putarkan. Isi celoteh penyampai radio bersama tetamu undangan agak berbeza berbanding sebelum ini. Hari ini mereka membincangkan tentang harga barang basah seperti ikan dan sayur masih lagi tidak ‘rahmah’ dan tetap memberatkan rakyat. Tetamu undangan mengutarakan pandangan yang bernas dan kritis, dengan saranan dan gesaan agar jalan penyelesaian harus disegerakan. Mereka berani bersuara bukan giat membodek. Saya pelik.
Penyampai radio kelihatan bernas dan berisi celotehnya. Ketawa mengekeh-ngekeh tak bersebab seperti selalu sudah kurang dan hampir tiada. Patutlah sepanjang perjalanan tadi saya berasa segar kerana lagu-lagu yang diputarkan pula adalah lagu-lagu digelar orang ‘B-side’ iaitu senarai lagu-lagu dari sesebuah album artis yang jarang dimainkan kerana hanya lagu komersial cintan-cintun sahaja yang gemar diangkat.
Lagu-lagu pagi ini lagu rancak penaik semangat untuk saya pergi bekerja. Lagu-lagu dendangan kumpulan Blues Gang, Search, Wings, Siti Nurhaliza, Ziana Zain, Too Phat, atau Aina Abdul yang bukan seperti selalu saya dengar. Bukan tentang menangis kecewa ditinggalkan kekasih. Ini lagu-lagu tentang hendak pergi bekerja, tentang kritik sosial, tentang kemanusiaan dan ketuhanan. Patutlah saya rasa lain.
Dan…sebaik sahaja kereta saya memasuki parkir di bawah bangunan pejabat barulah saya perasan perjalanan tadi lancar kerana pondok tol sudah tiada. Ajaib!
Sepanjang hari tersebut dari pagi sampai ke petang saya mula dapat rasakan angin perubahan (wind of change) kerajaan yang telah enam bulan memerintah negara ini. Tidak perlu banyak, cukup dengan mendengar radio di dalam kereta itu tadi sahaja sudah merasai suasana perubahan. Rakan sekerja pun saya lihat begitu – kelihatan lebih cergas dan lebih rajin.
Kak Miah, kerani akaun syarikat tempat kami bekerja kelihatan semakin ceria. Ini kerana menurutnya sudah ada dasar tentang sekolah khas anak OKU milik kerajaan dibentangkan oleh menteri yang berkaitan di Parlimen semalam. Teruruslah sedikit Kak Miah selepas ini jika anaknya yang istimewa itu dibela. Tidaklah Kak Miah kalut seperti selalu bagaimana hendak bekerja membantu meringankan tanggungjawab suami menyara keluarga, pada masa yang sama anak OKU yang terlantar tiada tempat untuk dilatih dan ditinggalkan. Kak Miah pun macam kita juga, perlu bekerja dan bersaing dalam arus kehidupan hari ini tetapi tiadanya sistem sokongan dalam dasar kerajaan untuk anaknya yang tergolong dalam OKU Terlantar membuatkan dia agak terbatas.
Nampaknya reformasi sedang benar-benar dilakukan. Saya gembira. Kak Miah teruja.
“Jom! Malam ini ada tayangan pembukaan teater muzikal ‘Datuk Seri – Wira Kita Selamanya’ di Panggung Negara,” ajak kawan pejabat saya sambil mengunjukkan dua keping tiket.
Wow! Ini menarik. Lama saya menunggu pementasan kisah seorang wira rakyat yang penuh ranjau liku perjuangannya sehinggalah beliau kini menjadi perdana menteri. Pasti menarik kerana banyak cabaran yang dihadapi Datuk Seri dalam impiannya menjadi orang nombor satu negara. Dari penjara ke singgahsana, pendek kata! Saya mesti pergi. Jom! Kata saya.
Saya mandi di pejabat sahaja petang itu untuk menyegarkan badan sebelum bergerak ke Panggung Negara bersama Zaman, kawan pejabat saya yang memang aktif berpolitik sejak zaman mahasiswa sehinggalah ke hari ini dia sudah beranak dua. Perdana Menteri hari ini sosok pujaan Zaman sebab itu dia sangat teruja untuk menyaksikan pementasan teater muzikal ini. Zaman yang sebelum ini usah haraplah dia hendak pergi menonton teater tiba-tiba hari ini bercerabih tentang seni visual, plot, penataan cahaya, “blocking” dan lain-lain istilah dalam teater. Tak semena-mena dia jadi orang teater. Semuanya kerana Datuk Seri pujaannya.
Kami sampai memang tepat mengikut jadual aturcara. Tetamu undangan, para VIP, dan penonton sudah mengambil tempat. Saya amati sungguh-sungguh barisan kerusi paling hadapan tempat khas VIP yang ada papan tanda bertulis ‘tetamu kehormat khas perdana menteri’. Saya kenal wajah-wajah yang memenuhi barisan kehormat tersebut. Dahsyat! Masakan saya tidak kenal, mereka itulah antara sosok-sosok yang pernah dipukul, ditendang, dilokap kerana menyokong perjuangan perdana menteri selama ini.
Abang Seman, Kak Nor Tau Fu Fa kelihatan segak bergaya. Mereka pernah kehilangan kerja gara-gara perjuangan. Naik turun mahkamah ritual mereka selama lebih dua puluh tahun kerana menghadiri rapat umum dan demonstrasi jalanan. Malam ini saya seronok melihat mereka pakai lawa-lawa. Mereka diiktiraf perdana menteri sendiri. Kawan saya si Zaman terus memuji-muji perdana menteri yang baginya cukup prihatin.
Perdana Menteri memberi ucapan sebelum pementasan bermula. Beliau merakamkan setinggi penghargaan kepada semua yang pernah mendokong perjuangannya. Pendek sahaja tetapi bernas ucapannya. Tidak perlu menekan suara dengan tangan tergawang-gawang. Dewan pun digelapkan. Nyanyian lagu puisi dimulakan sebagai persembahan pembukaan sebelum teater berlangsung. Lagu-lagu pembukaan dinyanyikan oleh beberapa seniman yang saya kenal. Mereka ini seniman-seniman lawan arus yang banyak terlibat dalam program perjuangan mendokong perjuangan perdana menteri bertahun-tahun dahulu. Lagu-lagu berbentuk kritikan terhadap sistem yang korup bikinan mereka cukup sedap, pedas, dan puas.
Saya semakin gembira kerana seniman-seniman comot ini diberi peluang menaiki pentas mewah setelah bertahun-tahun menyanyi di tepi jalan dan di rapat umum. Kekadang mereka dilibas dan ditangkap, diangkut menaiki trak FRU. Saya menitiskan air mata terharu. Abang Seman, Kak Nor Tau Fu Fa, dan seniman Kassim Jemaat wira tak didendang bagi saya. Sumbangan mereka tak boleh dipandang remeh begitu sahaja. Mereka setitis air yang mencukupkan gelombang perjuangan. Tanpa setitis ini, ombak tidak menjadi. Saya sebak lagi.
Saya tidak begitu menumpukan perhatian sangat terhadap teater itu. Banyak babak saya terlepas kerana terleka dengan fantasi sendiri. Tempat duduk saya yang cukup strategik membolehkan saya memerhati dengan jelas wajah-wajah di barisan hadapan panggung tersebut. Saya bangga dengan mereka. Khusyuk benar mereka menonton sehinggalah persembahan tamat. Perdana Menteri diberikan tepukan gemuruh. Semua orang ingin bergambar dengan beliau. Kawan saya si Zaman awal-awal lagi melompat bangun menuju ke hadapan untuk merakam gambar, meninggalkan saya yang masih tidak tahu hendak buat apa.
Ada beberapa penggiat seni yang sebelum ini tidak ada langsung dalam episod perjuangan turut tersengih-sengih bersalam, cium tangan, memeluk erat perdana menteri dan berswafoto. Ada selebriti yang dahulunya pernah mencemuh perdana menteri kini terhegeh-hegeh memotong barisan untuk berfoto. Dia ini yang bergelar Datuk juga kelihatan berswafoto dengan seorang menteri Kabinet muda yang sebelum ini seorang aktivis. Aktivis muda yang kini sudah menjadi menteri itu turut pernah dikutuk dan diseranah oleh selebriti bergelar Datuk itu. Tetapi malam ini kedua-dua mereka seronok berfoto dan saling bertepuk-tampar seperti lama kenal. Saya geram dengan Datuk itu. Saya tersinggung dengan menteri itu. Lebih-lebih lagi apabila melihat makin ramai mengerumuni perdana menteri untuk dipeluk.
Abang Seman dan Kak Nor kelihatan ditolak ke tepi dan semakin terpinggir di sudut dinding dewan. Tersengih-sengih Abang Seman dan Kak Nor, memberi laluan kepada mereka yang semakin ghairah merapati Perdana Menteri. Wajah-wajah yang pernah bersama tetapi khianat di pertengahan perjuangan juga sudah muncul tersengih-sengih pada malam itu.
“Tahniah Datuk Seri! Tahniah Datuk Seri!” suara pujian dengan nada mengada-ngada memenuhi ruang dewan.
“Syabas Datuk Perdana Menteri! Saya ikut Datuk Seri sejak dulu lagi!”
Kepala saya berpinar-pinar. Abang Seman sudah terkebelakang ditolak oleh sosok-sosok berpakaian lawa. Kak Nor jatuh terjelepuk di lantai. Kak Nor menyapu lengan baju cantiknya yang kotor akibat terjatuh. Si Zaman tidak dapat saya kesan. Barangkali ada di antara ramai-ramai di situ. Saya naik angin. Saya bangun dari tempat duduk dan meluru ke hadapan mahu bantu mengangkat Kak Nor dan mahu membalas tolakan kasar mereka yang melakukannya terhadap Kak Nor. Malangnya pengawal keselamatan lebih cekap. Saya dipegang oleh tiga orang pengawal yang tegap sehingga saya tidak mampu bergerak. Saya diheret keluar dari panggung tersergam itu dan dihumban ke suatu sudut tempat tong-tong sampah dikumpulkan. Di situ saya terlentang, mengerang kesakitan, dan tidak mampu bergerak. Badan saya lemah manakala mata saya makin lama makin kabur dan gelap.
Bila saya buka mata saya dapati saya berada di sofa ruang tamu rumah.
“Apahal, bang?” tegur isteri saya dengan nada kehairanan. “Macam baru lepas jumpa hantu je?”
Aduh! Sudah senja rupanya. Saya melihat jam dinding. Saya melengung. Skrin TV di hadapan saya sedang memainkan sebuah drama bersiri. Tentang anak orang kaya yang menjadi boss di syarikat milik bapanya. Isterinya cantik tetapi tidak disukai oleh ibunya sendiri. Dan…bla..bla..bla begitulah seperti drama-drama ‘cilaka’ yang selalu kita tonton.
Saya menukar “channel” lain. Ada nyanyi-nyanyi. Lagu cinta, kecewa, lara. Saya mengeluh lagi. Begitulah setiap hari lagu-lagunya. Bayangan kawan saya si Kassim Jemahat seniman yang sedap dengan lagu-lagu rakyatnya bermain di fikiran. Barulah saya yang sedang bingung sedikit demi sedikit kembali waras. Ya, saya sedar semua itu tadi tidak berlaku. Dari dalam kereta, di pejabat, dan dalam panggung tadi itu hanya khayalan.
Inilah padah tidur pada waktu senja. Inilah padah kalau berangan bahawa reformasi itu mudah, lancar, dan tidak ‘dipotong tang konar’!
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.