Gendang perang semakin kuat

Gendang perang semakin kuat

PN bukan saja mahu menang di enam negeri, tetapi mahu menukar kepimpinan di Putrajaya.

Kerana keyakinan menggunung bahawa Kelantan dan Terengganu akan kekal bersama PAS/Perikatan Nasional (PN), wacana politiknya agak suam, tidak sehangat di Kedah dan Selangor. Pulau Pinang yang mendapat tempias dari Kedah kelihatan akan menambah kerusi untuk PN. DAP/Pakatan Harapan (PH) yang saban pilihan raya sudah agak selesa dengan status quo, kali ini terkejut sedikit dengan “gelombang hijau”.

Azmin Ali akan membawa bendera PN di Selangor, kembali menjadi calon di Hulu Kelang, kampungnya. Amirudin Shari merasakan tiada isu besar yang boleh mengheret PH jatuh, PKR masih gagah di Selangor. Tetapi, Azmin dan Noh Omar merasakan sebaliknya. Dengan Azmin kembali ke Hulu Kelang, percaturan mungkin berbeza.

Bekas menteri besar, Azmin lebih memahami apa yang berlaku di Selangor berbanding calon lain, diganding dengan pemimpin kanan seperti Noh. Noh diwakili anak perempuannya, Nurul Syazwani di DUN Permatang.

PH Negeri Sembilan meletakkan Mohamad Hasan di Rantau untuk memperkuatkan pasukannya di negeri itu. Mohamad yang lebih dikenali sebagai Tok Mat, masih ada kredibiliti untuk memimpin Barisan Nasional Negeri Sembilan, walaupun Umno sudah cedera parah di peringkat pusat. Beliau masih dilihat boleh mengembalikan maruah Umno, cuma beliau tidak seagresif Noh dan Khairy Jamaluddin. Mungkin tidak mahu menerima nasib sama seperti mereka.

PN pun mengalami ketandusan pemimpin di Negeri Sembilan dengan menggunakan “pemain import” Ahmad Faizal Azumu aka Peja, dari Perak. Sejauh mana timbalan presiden Bersatu itu boleh mengumpul “team” kuat untuk berdepan PH? Pertama, Peja perlu biasa dengan masak lomak dengan daging salai, sebelum boleh beramah mesra dengan penduduk tanah adat ini. Mungkin Rafiei Mustapha dari PAS boleh membantu memudahkan urusan.

Sebab itu Sanusi Nor popular di Kedah, hingga ke negeri jirannya di Pulau Pinang kerana rakyat Kedah lebih selesa mendengar celoteh orang kampung depa. Orang Selangor dan Negeri Sembilan mungkin pening sedikit kalau dengar Sanusi bercakap Kedah, loghat Sik dan Baling. Jawa di Tanjung Karang tentu keliru, sementara pengundi di Rembau menggaru kepala nak faham.

Mulanya dulu ada desas-desus Khairy akan diletakkan di Negeri Sembilan untuk menggalas tanggungjawab sebagai panglima perang PN. Tetapi, sampai hari ini Khairy tidak memberi kata putus kepada Muhyiddin Yassin. Jadi, Tok Mat mungkin berdepan jalan mudah, kecuali gelombang hijau PN terlalu kuat untuk dibendung.

Jika PRU dijadikan ukuran untuk trend mengundi dalam PRN, akan ada kejutan di Pulau Pinang. Siapa sangka Nurul Izzah Anwar boleh tewas di Permatang Pauh? Fawwaz Mat Jan, taruhan PAS mengubah persepsi bahawa PAS cuma kuat di Kelantan dan Terengganu. Dengan Sanusi berada tidak jauh, akan ada “spill over” pengaruh PAS di negeri itu. Cuma kita tidak tahu sama ada Gerakan boleh membantu memikat pengundi bukan Melayu di bahagian pulau.

Sejauh mana “influencer” politik seperti Noh, Khairy dan Annuar Musa boleh mempengaruhi pengundi? Khairy ada platfom podcast Keluar Sekejap, antara yang mendapat perhatian warganet. Noh lebih kepada muncul di lapangan mendedahkan kelemahan Umno menguruskan parti. Annuar menceritakan apa yang berlaku sebelum ini sehingga mendorong Umno menukar haluan menyokong kerajaan perdana menteri ke-10, Anwar Ibrahim.

“Silent protest” MCA dan MIC? Status dua sekutu BN ini belum jelas. Ini strategi mereka? MCA bukan pengaruh besar di Pulau Pinang, begitu juga MIC. Di mana peranan mereka untuk PRN? Memenangkan PN dengan tidak berkempen untuk BN?

Ini PRN atau PRU? Gelombangnya kuat. PN bukan saja mahu menang di enam negeri, tetapi mahu menukar kepimpinan di Putrajaya. Kata pemimpin mereka (PN), jika berlaku tsunami di enam negeri itu, sokongan di peringkat pusat turut berubah. Apakah negara akan menyaksikan PRK pula selepas ini?

Asakan ke atas Sanusi akan berterusan. Banyak kejutan untuk Sanusi menjelang 12 Ogos ini. Menteri besar Kedah itu terpaksa bergelut menjawab tuduhan dibuat ke atasnya. Bukan mudah. Ia memerlukan kudrat kental di samping mental jitu. Tetapi, dicelah kekalutan itu muncul ketenangan apabila beliau berada di hadapan 50,000 penyokongnya.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.