Cakap beralas, cakap berlapik

Cakap beralas, cakap berlapik

Dr Akmal Saleh kata beliau akur keputusan parti. Pada masa sama tetap mahu Umno putus hubungan dengan kerajaan perpaduan.

Mohsin Abdullah

Zahid Hamidi pun ‘confuse’ dibuatnya. Lantas si presiden Umno mahu jumpa Dr Akmal Saleh si ketua Pemudanya untuk penjelasan. Ditanya media sama ada kenyataan keras Akmal susulan pengumuman letak jawatan exco kerajaan Melaka tetapi kekal jawatan parti.

“Saya ingin tahu, saya akan jumpa beliau…beliau nak serang siapa dalam perkara ini,” kata Zahid. Tidak dipastikan sehingga artikel ini ditulis sama ada beliau sudah dapat penjelasan Akmal.

Pelik, Zahid tanya siapa Akmal nak serang kerana semasa mengumumkan peletakan jawatan exconya Akmal menegaskan ‘saya sudah bawa kerisauan rakyat di bawah yang tak boleh duduk dengan DAP, orang kita marah dengan DAP’. Tak perlu saya memperincikan ucapan berapi-api beliau.

Cuma ingin tanya – adakah beliau mewakili suara rakyat Malaysia apabila berkata telah bawa ‘kerisauan rakyat?’ Namun, pada masa sama beliau berkata ‘sebagai pemimpin di bawah yang diangkat ke atas saya perlu akur kepada akar umbi saya’. Akar umbi Merlimau, Melaka atau akar umbi Pemuda Umno?

Bagi Akmal peletakan jawatan membolehkannya beri tumpuan menentang DAP disifatkannya sebagai ‘musuh yang nyata’.

Kata Fuad Zarkashi, ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno untuk lawan DAP tak perlu ‘full time’ sehingga terpaksa letak jawatan exco Melaka. Betul juga. Selama ini Akmal serang DAP selaku exco kerajaan dan ketua Pemuda Umno sekali gus. Tak ada masalah pun.

Atau mungkinkah Akmal memberi isyarat tertentu kepada semua pemimpin Umno termasuk Zahid yang masih duduk dalam kerajaan dan memegang jawatan penting? Perli, sindir? Atau cakap berlapik? Ada yang tersurat dan tersirat? Kan beliau kerap berkata jangan takut jadi pembangkang? Tetapi yang bermaruah.

Namun, peletakan jawatan exco Melaka tidak menjadikan Akmal pembangkang di negeri itu sebab orang Umno masih pegang jawatan ketua menteri. Masih kerajaan perpaduan di Melaka.

Zahid sudah umum Umno akan kekal duduk dalam kerajaan perpaduan sampai tamat penggal. Begitu juga timbalannya Mohamad Hasan walaupun Akmal desak partinya tinggalkan kerajaan.

Beberapa hari sebelum Perhimpunan Agung Umno, Setiausaha Agung Asyraf Wajdi Dusuki mengesahkan tiada usul keluar kerajaan perpaduan dihantar oleh perwakilan untuk dibawa ke PAU.

Ketika umum apa yang beliau umum Akmal kata beliau akur keputusan parti. Pada masa sama tetap mahu Umno putus hubungan dengan kerajaan perpaduan.

Zahid pula ketika menyampaikan ucapan dasar pada PAU menegaskan ‘jangan lagi simbah minyak’ supaya partinya keluar kerajaan. Amaran ditujukan kepada ‘pihak luar’ tanpa menamakan siapa yang dimaksudkan. Namun, pada masa sama berkata ‘kami mendengar suara Pemuda, Wanita dan Puteri. Jadi jangan cuba ganggu-gugat kami’.

Dengar suara Pemuda – ‘confuse’ juga bukan? Tetapi mengenai ‘pihak luar’ mungkin Zahid merujuk PAS yang beberapa pemimpinnya secara terbuka menyokong gesaan dan tingkah laku Akmal.

Akmal memang bersengketa dengan DAP agak sudah lama berhubung pelbagai isu. Tetapi saya kira yang paling serius buat beliau melenting apabila Ahli Parlimen Puchong Yeo Bee Yin menyambut baik keputusan mahkamah tolak permohonan Najib Razak untuk ditahan di rumah bukan lagi di Penjara Kajang. ‘Reason to celebrate’ kata Yeo. Kebetulan ketika itu menjelang sambutan akhir tahun.

Ini menimbulkan kemarahan ramai orang Umno tetapi seperti dikata tadi Akmal terpaling marah sehingga mendesak Umno putus hubungan dengan kerajaan kerana DAP menganggotainya.

Umno memang sayangkan Najib. Tetapi saya percaya bukan semua orang Umno begitu. Ada yang nampak macam sayang. Bagi Umno Najib banyak jasa (kepada parti?). Paling penting bagi Umno Najib mereka lihat boleh kembalikan kekuatan untuk menang pilihan raya. Tetapi bukankah ramai juga antara mereka yang menyalahkan Najib apabila Umno/BN kalah PRU14 pada 2018? Kerana skandal 1MDB.

Saya setuju dengan Rafizi Ramli yang berpendapat Umno punya hipotesis salah dengan kepercayaan Najib akan menangkan mereka. Bukankah Umno mula hilang sokongan rakyat khususnya orang Melayu bermula 2008. Kemudian terus merosot dalam PRU13 pada 2013, dan kemuncaknya kekalahan 2018. Kedua-dua PRU itu semasa Umno bawah pimpinan Najib.

Mustahil Umno tidak tahu sentimen rakyat terhadap Najib. Saya ulangi apa yang sering saya tulis bahawa majoriti rakyat Malaysia tidak berada ‘on the same page with Umno’ berhubung isu Najib.

Umno tetap mahu Najib diberi pengampunan diraja. Zahid pada PAU secara terbuka memohon Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim meringankan hukuman terhadap Najib. Tetapi Umno masih mengaku peka akan denyut nadi rakyat.

Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pada 14 Jan lalu dilapor menzahirkan kebimbangan terhadap gejala rasuah yang kini semakin berleluasa serta kecewa dengan pihak yang menyokong individu disabit kesalahan.

Baginda bertitah, rasuah ialah musuh utama kepada keadilan, amanah dan masa depan negara. ‘Beta amat terperanjat dan kecewa apabila masih wujud pihak terus memberi sokongan kepada individu yang telah disabitkan bersalah atas tuduhan rasuah yang amat besar seolah-olah perbuatan itu boleh diterima dan dimaafkan’. Baginda tidak menamakan sesiapa secara spesifik.

Kembali kepada Akmal. Beliau mengingatkan semua, Najib dan juga Anwar Ibrahim adalah produk yang dilahirkan Pemuda Umno. Benar. Kedua-duanya pernah jadi ketua Pemuda Umno. Mungkin faktor ini boleh dijadikan perangsang buat Akmal. Menaikkan semangat untuk berjuang.

Syed Jaafar Albar yang digelar ‘singa Umno’ juga pernah pegang jawatan ketua Pemuda. Begitu juga Harun Idris dan ramai lagi nama besar, namun mereka tidak jadi perdana menteri. Malah Zahid pun tidak (belum) jadi PM.

Dan Anwar pula pernah dipecat Umno sebelum ini akhirnya jadi PMX.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.