PKPD di 2 lokaliti Pahang, 1 di Sabah mulai Isnin

PKPD di 2 lokaliti Pahang, 1 di Sabah mulai Isnin

Ini susulan peningkatan kes dalam tempoh seminggu dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti berkenaan, kata Ismail Sabri Yaakob.

PKPD akan dikuatkuasakan mulai Isnin hingga 30 Mei di Kampung Paya Teh, Jerantut, dan Seri Kemunting, Kuantan, di Pahang, serta Kampung Sungai Langgas di Kunak, Sabah.
PETALING JAYA:
Perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) akan dikuatkuasakan di dua lokaliti di Pahang, dan satu di Sabah, mulai Isnin.

Di Pahang, PKPD akan berkuatkuasa di Kampung Paya Teh, Jerantut, dan Seri Kemunting, Kuantan, hingga 30 Mei, menurut Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan.

“Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan berlaku peningkatan kes dalam tempoh seminggu dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti itu,” kata Ismail.

Di Sabah pula, Kampung Sungai Langgas di Kunak turut dikenakan PKPD hingga 30 Mei.

“Pelaksanaan PKPD ini adalah untuk memudahkan KKM menjalankan pengesanan awal kes Covid-19 supaya dapat diasingkan secepat mungkin serta menyekat penularan jangkitan ke kawasan luar,” kata Ismail.

Dalam pada itu, PKPD di Rumah Panjang Jali Anak Empaling, dan Lanyau Anak Tuli, Bukit Dinding-Bergerik, di Mukah, Sarawak yang dijadualkan tamat esok, telah dilanjutkan hingga 23 Mei.

KKM mengesahkan penularan masih berlaku di lokaliti tersebut dan kes baharu juga masih direkodkan, menurut Ismail.

“Sehingga kini, KKM telah melakukan 150 ujian saringan di kedua-dua rumah panjang tersebut dan 81 disahkan positif Covid-19,” kata beliau.

Sementara itu, PKPD di beberapa lokaliti di Pahang dan Sarawak ditamatkan awal daripada yang dijadualkan.

PKPD di Apartment Meranti, Midhill Apartment, Ramin dan Vista Residence, di Bentong, Pahang, ditamatkan hari ini, lebih awal daripada yang dijadualkan, iaitu pada 23 Mei.

Menurut Ismail, KKM mengesahkan terdapat penurunan kes dan sampel kedua untuk semua kontak rapat telah diambil dan diasingkan di stesen kuarantin.

PKPD di lima rumah panjang di Jalan Bukut Balingian, Mukah, Sarawak, turut ditamatkan awal, iaitu esok, berbanding tarikh asal yang dijadualkan, 20 Mei.

Rumah panjang yang terlibat adalah Rumah Panjang Belayong, Rumah Panjang Muda, Rumah Panjang Tepi, Rumah Panjang Minggu dan Rumah Panjang Undom.

Di tiga lagi rumah panjang di Mukah, iaitu Rumah Panjang Luni, Manna, dan Nelson Chuat, PKPD akan ditamatkan esok, mengikut jadual.

Dalam perkembangan lain, Ismail turut memaklumkan 551 individu ditahan semalam atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP).

“Daripada jumlah itu, seramai 519 individu dikompaun manakala 32 lagi direman,” kata beliau.

Antara kesalahan terbabit adalah gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis (124), tidak patuh arahan PKP (101), tiada penjarakan fizikal (92), tidak memakai pelitup muka (80), rentas negeri/daerah tanpa kebenaran (3), dan lain-lain (151).

Sementara itu, sebanyak 481 sekatan jalan raya (SJR) diadakan semalam menerusi Op Benteng, yang melibatkan polis, tentera, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM), serta agensi-agensi keselamatan lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.