
Beliau berkata, sokongan 51% seperti dilaporkan adalah memadai ketika ini susulan penularan Covid-19, selain terdapat segelintir pihak cuba “menghidupkan api kebencian” dengan mengadakan protes yang tidak berasas.
“Banyak perkara baik dilakukan kerajaan sekarang, (sebab itu) majoriti masih sokong perdana menteri. Angka di atas 50% itu cukup memadai dalam keadaan ketika ini,” katanya kepada FMT.
Kata beliau, apa yang perlu dirisaukan adalah sekiranya sokongan menjunam kepada 0%, selain menganggap turun naik sokongan sebagai perkara biasa yang turut dialami pemimpin sebelum ini.
FMT baru-baru ini melaporkan sokongan pengundi terhadap kepimpinan Muhyiddin merosot kepada 51% pada suku pertama tahun ini berbanding 66% pada suku kedua tahun lalu.
Menurut kaji selidik dijalankan O2 Malaysia, pusat penyelidikan berpusat di Kuala Lumpur, hanya perdana menteri Perikatan Nasional itu menunjukkan kemerosotan sokongan berbanding pemimpin parti politik lain yang mempunyai tahap sokongan konsisten.
Bagaimanapun, Presiden Bersatu itu masih kekal sebagai pemimpin mendapat sokongan tertinggi diikuti Presiden PAS, Abdul Hadi Awang dengan sokongan popular sebanyak 34%; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng (30%); Presiden PKR, Anwar Ibrahim (26%); Presiden Amanah, Mohamad Sabu (22%) manakala Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi menduduki kedudukan tercorot dengan 11%.
Mengulas lanjut, Razali yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Terengganu berkata prestasi kerajaan PN kini sebenarnya lebih baik berbanding ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) diketuai Dr Mahathir Mohamad.
Malah, pelbagai inisiatif dan pakej rangsangan ekonomi diperkenalkan untuk menyokong ekosistem ekonomi khususnya rakyat B40 yang paling terkesan berdepan Covid-19.
“Mahathir apa dia buat masa mula-mula Covid-19 menular dalam negara? Tiada apa-apa. Bila PN buat macam-macam (dia) serba tidak kena. Kita kena sedar, ketika ini rakyat masih boleh buat kerja, majoriti masih setuju (kepada kerajaan).
“Walaupun ada beberapa perkara tidak dipersetujui tetapi itu biasa. Bukan semua kerajaan sempurna,” katanya.
Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Puad Zarkashi berkata Muhyiddin seharusnya melemparkan ‘tuala putih’ ke gelanggang susulan penurunan sokongan sebanyak 15% adalah sangat besar.
“Sepatutnya beliau kena terima hakikat kemerosotan signifikan dalam tempoh setahun menandakan rakyat tidak yakin kepada polisi dan keberkesanan kerajaan PN.
“Dari segi realiti Muhyiddin memang gagal menangani pandemik Covid-19, dasar ekonominya juga gagal kerana pelabur asing tidak datang. Polisinya juga tidak efektif antaranya darurat gagal menurunkan kes Covid-19 sebaliknya makin meningkat,” katanya.
Seorang lagi Ahli Majlis Tertinggi Umno, Razlan Rafii menyifatkan kemerosotan sokongan itu adalah manifestasi kemarahan rakyat terhadap Muhyiddin yang gagal menguruskan negara ketika berada dalam krisis.
Beliau berkata, kerajaan Muhyiddin dilihat tidak berfungsi dengan baik kerana hanya segelintir menteri bekerja keras, malah ada di antara mereka bersembunyi kerana gagal membuat keputusan membabitkan kementeriannya.