SD Ahli Parlimen Umno dihantar kepada Agong, kerajaan Muhyiddin sudah hilang majoriti, kata Zahid

SD Ahli Parlimen Umno dihantar kepada Agong, kerajaan Muhyiddin sudah hilang majoriti, kata Zahid

Umno menggesa Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan secara terhormat selepas kegagalannya dan keingkaran kerajaan pimpinan beliau terhadap titah Agong supaya Ordinan Darurat dibahas dan diungkaikan.

Umno memilih untuk mengambil pendirian berpihak kepada Agong dan tidak akan mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin Yassin.
KUALA LUMPUR:
Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin Yassin tidak lagi mempunyai majoriti selepas Ahli Parlimen Umno yang “mencukupi angka” memaklumkan Istana Negara mereka tidak lagi menyokong beliau sebagai Perdana Menteri, kata Ahmad Zahid Hamidi.

Presiden Umno itu berkata, surat akuan berkanun yang dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong itu “mencukupi angka bagi menzahirkan penarikan sokongan (Ahli Parlimen Umno) terhadap Muhyiddin sebagai Perdana Menteri”.

“(Ia) sekali gus menunjukkan kepimpinan beliau sudah hilang majoriti dan keabsahan selaku ketua kerajaan.”

Zahid berkata, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno sebulat suara menarik balik sokongan terhadap kerajaan PN dan Muhyiddin selaku Perdana Menteri.

“Muhyhiddin mesti mengambil tanggungjawab atas kegagalan dan keingkaran kerajaan pimpinan beliau yang menyanggah titah Agong dengan meletak jawatan sebagai Perdana Menteri secara terhormat,” katanya.

Zahid berkata, kenyataan terbaharu Muhyiddin hari ini mengenai isu pembatalan Ordinan Darurat tanpa diperkenan oleh Agong, tidak menjernihkan masalah “bahkan menyerlahkan kekhilafan” kerajaan dalam menyanggah titah diraja, malah mempersenda baginda.

“Hakikatnya Agong sudah beberapa kali menitahkan untuk semua Ordinan Darurat dibahaskan dan diungkaikan sebelum 1 Ogos lagi, bukan September 2021, sejajar dengan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Petang tadi, Muhyiddin berkata usul untuk membahas dan mengungkai Ordinan Darurat boleh dibentangkan di Parlimen bulan depan, setelah mengambil pendirian berbeza sebelum ini.

Umno adalah blok terbesar dalam kerajaan pimpinan PN dan sebelum ini membuat keputusan menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin. Namun Zahid hari ini mengumumkan penarikan sokongan itu bukan terhadap Muhyiddin sahaja, malah seluruh kerajaan.

Keseriusan Umno melaksanakan keputusan itu terbukti apabila Ahli Parlimen Lenggong Shamsul Anuar Nasarah meletak jawatan sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli.

Beberapa pemimpin lain Umno di pelbagai peringkat juga dijangka meletak jawatan yang dipegang dalam kerajaan Muhyiddin.

Bagaimanapun, Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob yang baharu dilantik Timbalan Perdana Menteri bulan lalu, telah menyatakan sokongannya terhadap Muhyiddin sebelum ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.