Himpunan Dataran Merdeka: 17 lagi Ahli Parlimen selesai beri keterangan

Himpunan Dataran Merdeka: 17 lagi Ahli Parlimen selesai beri keterangan

Ketua Polis Kuala Lumpur berkata pihaknya akan memanggil beberapa lagi Ahli Parlimen untuk memberi keterangan dalam tempoh terdekat ini.

Pada 2 Ogos sekumpulan Ahli Parlimen cuba memasuki pekarangan bangunan Parlimen mendesak supaya Mesyuarat Khas Dewan Rakyat diteruskan.
KUALA LUMPUR:
Seramai 17 lagi Ahli Parlimen pembangkang selesai memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi berhubung perhimpunan di Dataran Merdeka sebelum berarak ke bangunan Parlimen pada 2 Ogos lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Azmi Abu Kassim, yang mengesahkan perkara itu berkata pihaknya akan memanggil beberapa lagi Ahli Parlimen untuk memberi keterangan dalam tempoh terdekat ini.

“Ya, 17 Ahli Parlimen telah selesai dipanggil beri keterangan hari ini,” katanya ringkas ketika dihubungi Bernama.

Sementara itu, tinjauan Bernama di IPD Dang Wangi mendapati mereka yang hadir pada sebelah pagi adalah Ahli Parlimen Cheras Tan Kok Wai, William Leong Jee Keen (Selayang), Fong Kui Lun (Bukit Bintang), Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa), Charles Santiago (Klang), Hasanuddin Mohd Yunus (Hulu Langat), Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor), Fuziah Salleh (Kuantan) dan P Prabakaran (Batu).

Hadir selepas tengah hari pula adalah Syed Ibrahim Syed Noh (Ledang), Chan Ming Kai (Alor Star), Wong Chen (Subang), Sim Tze Tzin (Bayan Baru), Anthony Loke Siew Fook (Seremban) dan Nor Azrina Surip (Merbuk).

Di Putrajaya, Pengerusi Pejuang yang juga Ahli Parlimen Langkawi, Dr Mahathir Mohamad serta presiden parti itu yang juga Ahli Parlimen Jerlun, Mukhriz Mahathir dilapor turut diambil keterangan di Yayasan Kepimpinan Perdana antara 2.45 petang hingga 3.30 petang.

Kedua-dua mereka dirakam kenyataan oleh empat pegawai polis Unit Jenayah Terkelas Bukit Aman untuk membantu siasatan yang dijalankan bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Sabtu lepas, 20 Ahli Parlimen diambil keterangan berhubung perkara itu.

Pada 2 Ogos, sekumpulan Ahli Parlimen cuba memasuki pekarangan bangunan Parlimen mendesak supaya Mesyuarat Khas Dewan Rakyat diteruskan. Sidang khas lima hari yang mengikut jadual berakhir pada 2 Ogos itu ditangguh atas nasihat Kementerian Kesihatan berikutan penularan Covid-19.

Semua Ahli Parlimen itu kemudian bersurai tanpa sebarang kekecohan selepas diarah polis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.