Pembangkang perlu segera buktikan jumlah sokongan Ahli Parlimen, gesa Bersih 2.0

Pembangkang perlu segera buktikan jumlah sokongan Ahli Parlimen, gesa Bersih 2.0

Jawatankuasa bebas itu menyeru pembangkang membentangkan pakej pembaharuan yang mampu mengukuhkan pentadbiran rentas parti susulan tawaran terbaharu Muhyiddin mengenai kerjasama bipartisan.

BERSIH 2.0 juga menegaskan pakej pembaharuan yang ditawarkan oleh Muhyiddin tidak lengkap.
PETALING JAYA:
Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 menggesa kem pembangkang yang kini mendakwa mempunyai sokongan 120 Ahli Parlimen segera mendedahkan nama 111 sokongan majoriti atau lebih, sebagai tindakan terhadap kenyataan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semalam bahawa tiada seorang ahli Dewan Rakyat mempunyai sokongan majoriti ketika ini.

Selain itu, jawatankuasa bebas itu menyeru pembangkang membentangkan pakej pembaharuan yang mampu mengukuhkan pentadbiran rentas parti susulan tawaran terbaharu Muhyiddin mengenai kerjasama bipartisan.

“Mekanisme pembuktian ini agar pembangkang mempunyai majoriti sebelum mereka dapat membuang perdana menteri sedia ada diistilahkan sebagai undi tidak percaya konstruktif (Constructive Voice of No Confidence).

“Ia perlu dipertimbangkan untuk mengelakkan kekhuatiran orang ramai kepada kekosongan kementerian – sebagaimana yang berlaku apabila Pakatan Harapan (PH) tumbang pada 24 Februari 2020 dan pembentukan kabinet Perikatan Nasional (PN) pada 8 Mac 2020,” katanya dalam kenyataan.

BERSIH 2.0 juga menegaskan pakej pembaharuan yang ditawarkan oleh Muhyiddin tidak lengkap, dan menggesa kerajaan PN serta pembangkang diketuai PH dan Umno untuk menawarkan enam perkara berikut untuk pembaharuan dan kestabilan.

  1. Pembuatan dasar berkaitan pandemik yang lebih inklusif melalui Majlis Persekutuan-Negeri bagi kesihatan dan ekonomi, yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri dan Ahli Parlimen, dengan keanggotaan oleh menteri kanan, Ahli Parlimen pembangkang kanan, kesemua 13 Menteri Besar dan Ketua Menteri serta pakar atau teknokrat.
  2. Manual Kabinet yang menjelaskan konvensyen perlembagaan dan peraturan pentadbiran untuk isu utama seperti pembentukan kerajaan, kerajaan sementara, prerogatif Ketua Pembangkang Parlimen dan menteri bayangan;
  3. Pembaharuan Parlimen yang lebih luas berbanding pembentukan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) dan peruntukan saksama pengerusi jawatankuasa, yang meliputi kuasa menetapkan agenda oleh perdana menteri dan Speaker, keutamaan usul percaya dan tidak percaya, Akta Perkhidmatan Parlimen dan rang undang-undang persendirian;
  4. Pembaharuan Jabatan Peguam Negara (AGC), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk menghapuskan pendakwaan terpilih dan kekebalan;
  5. Buka peluang undi tidak hadir dan siaran kempen untuk meminimumkan risiko kesihatan semasa pilihan raya dalam pandemik;
  6. Pembaharuan sistem pilihan raya dan institusi menguruskan pilihan raya serta parti politik, meliputi SPR, ROS dan pengenalan kerusi Perwakilan Berkadaran Disenarai Parti dengan kuota jantina serta pilihan raya pecat.

Dalam pada itu, jawatankuasa berkenaan turut meminta kerajaan PN meminda Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat untuk mengutamakan usul percaya/tidak percaya pada masa akan datang bagi mengembalikan kepercayaan rakyat.

Selain itu, melaksanakan Undi 18 dengan segera dan menghentikan semua tahanan, pendakwaan dan gangguan kerajaan kepada mereka yang mengkritik kerajaan serta membantu perhimpunan aman #Lawan pada 21 Ogos.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.