
Noor Firdaus Rosli berkata, Irman Hadi Abd Manan, 39, dan Faizal Amran, 37, kedua-duanya berpangkat koperal dalam Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Cheras, melanggar tugas suci mereka sebagai anggota polis.
“Sungguh malang apabila melihat dua anggota polis ditangkap dengan bahan terlarang seperti dalam kes ini.
“Sepatutnya mereka melindungi orang ramai daripada bahan seperti itu, mengekang aktiviti buruk ini dan kesan ketum yang tidak diingini terhadap masyarakat,” katanya dalam penghakiman sepanjang 43 muka surat selepas mendapati mereka bersalah.
Beliau menyifatkan perbuatan mereka sebagai “tidak berakhlak, malah menjatuhkan martabat seragam mereka”.
“Aib dan malu akibat tindakan mereka itu bukan sahaja menjejaskan mereka, malah juga keluarga dan pasukan polis,” kata Noor.
Menurutnya, beliau hanya menjatuhi hukuman denda kerana itu ia adalah trend hukuman bagi sabitan mengikut Akta Racun di mahkamah di Kajang.
Bagaimanapun katanya, jumlah bahan terlarang dalam kes ini bukanlah kecil dan mesej sewajarnya perlu disampaikan untuk menghalang orang lain melakukannya, seterusnya mengancam masyarakat.
Irman dan Faizal didakwa atas tiga tuduhan memiliki 1.7 liter cecair, dan 22.1kg tumbuhan yang mengandungi “mitragynine”, iaitu antara bahan yang ditemui dalam ketum.
Mereka masing-masing didenda RM3,000, RM20,000 dan RM20,000 bagi tiga tuduhan itu, yang dilakukan di sebuah rumah di Cheras pada jam 7 malam, 30 Nov 2019.
Menurut fakta kes, serbuan dilakukan pasukan dari Bukit Aman diketuai Ahmad Herman Kassim di rumah berkenaan berdasarkan maklumat bahawa aktiviti jualan ketum dilakukan oleh anggota polis.
Herman melakukan pemeriksaan terhadap premis itu selepas menghidu bau sesuatu yang sedang dimasak.
Beliau kemudian menemui timbunan daun hijau yang disyaki ketum dalam satu bilik, manakala tiga peket air ketum ditemui di dapur.
Herman turut menemui air ketum yang sedang dimasak di dalam tiga periuk besar di luar dapur itu, selain satu lagi periuk mengandungi air ketum yang telah siap.
Selain itu, polis turut menemui wang tunai RM3,920 dan buku mengandungi maklumat disyaki rekod penjualan ketum.