Jangan bincang isu dalaman Umno di Parlimen, Zahid beritahu Tajuddin

Jangan bincang isu dalaman Umno di Parlimen, Zahid beritahu Tajuddin

Ahmad Zahid Hamidi berkata pentas terbaik membincangkan isu dalaman parti ialah pada mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi.

Mengulas ucapan Tajuddin Abdul Rahman di Dewan Rakyat yang dikatakan membidas Timbalan Presiden Umno Mohamad Hassan, Ahmad Zahid Hamidi berkata isu dalaman parti sepatutnya dibincangkan di pentas bersesuaian.
MUAR:
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata isu dalaman parti itu tidak seharusnya dijadikan bahan perbahasan Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat.

Beliau berkata, pentas terbaik untuk membincangkan isu dalaman Umno ialah mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi parti itu.

“Biarpun saya menghormati pandangan peribadi tetapi pendirian parti harus dihormati. Parti belum membuat pendirian dan tentunya pendirian ini akan dibincangkan apabila ada waktu yang sesuai,” katanya kepada pemberita di Pusat Daerah Mengundi Parit Keroma di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Maharani, hari ini.

Zahid mengulas ucapan Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman di Dewan Rakyat baru-baru ini yang dikatakan membidas Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hassan berhubung isu tarikh pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, walaupun Ahli Parlimen mempunyai imuniti untuk bercakap mengenai pelbagai perkara di Dewan Rakyat tetapi isu dalaman parti sepatutnya dibincangkan di pentas bersesuaian.

Mengenai pilihan raya negeri (PRN) Johor, Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu melahirkan keyakinan terhadap kemampuan gabungan tersebut memenangi jumlah kerusi mencukupi bagi membentuk kerajaan negeri yang baharu.

Zahid juga berharap pengundi Johor tidak mudah terpengaruh dengan “serangan bertubi-tubi” yang sedang disasarkan terhadap BN dan calonnya.

“Kita tahu serangan bertubi-tubi sedang menghala, bukan sahaja kepada produk kita iaitu calon BN tetapi isu nasional dibawa untuk mencemarkan nama baik kita. Kita menjangkakan itu semua namun kita yakin dengan kebijaksanaan pengundi di Johor,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.