
Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh berkata, rakyat berhak tahu mengapa Ahli Parlimen kerajaan tidak hadir untuk mengundi usul bagi melanjutkan penguatkuasaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) selama lima tahun lagi mulai 31 Julai.
Usul yang dibentangkan Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin itu tidak diluluskan dalam undian blok, selepas 85 Ahli Parlimen mengundi menyokong dan 86 lagi menentang. Baki 49 Ahli Parlimen tidak hadir.
Ramkarpal berkata, ketidakhadiran Zahid dan Ahli Parlimen Umno lain menimbulkan spekulasi bahawa kerajaan tidak mendapat sokongan parti itu.
Ramkarpal dalam kenyataan berkata, dalam kes rang undang-undang (RUU) SOSMA itu, Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook mendakwa kerajaan tidak berunding dengan pembangkang sebelum membentangkannya.
“Justeru, pembangkang tidak bertanggungjawab untuk menyokongnya.
“Malah, saya pasti pembangkang akan membantah sekalipun dengan rundingan kerana kami menentang SOSMA sejak mula disebabkan sifat drakoniannya.”
Susulan penolakan usul itu, Zahid dilaporkan berkata, pembangkang melanggar Perkara 3 dalam memorandum persefahaman (MoU) dengan kerajaan.
“Perkara 3 dengan jelas menegaskan pihak pembangkang hendaklah bersetuju atau berkecuali dalam apa-apa usul yang dibawa kerajaan. Ia adalah salah satu langkah yang diambil bagi mewujudkan kestabilan politik dalam pentadbiran semasa.”
Justeru katanya, kerajaan mesti “segera keluar daripada belenggu kerjasama yang lemah”.
“Kerajaan mesti mempunyai majoriti tersendiri. Majoriti yang kuat dan tidak mengharapkan ihsan serta budi bicara pembangkang,” katanya dalam catatan Facebook.
Menyifatkan kenyataan Zahid sebagai “tidak masuk akal”, Ramkarpal berkata, ini menunjukkan presiden Umno itu tidak memahami terma MoU berkenaan.
Katanya, Perkara 3.3(b) jelas menyatakan pembangkang bersetuju menyokong atau mengelak daripada mengundi mana-mana RUU kerajaan hanya setelah ia dirundingkan dan dipersetujui pembangkang.
“Dalam erti kata lain, mesti ada rundingan dengan pembangkang terlebih dahulu, sebelum timbul soal menyokong atau tidak mengundi.
“MoU itu tidak sekali-kali bertujuan menyebabkan pembangkang menjadi ‘pak turut’ kepada semua RUU kerajaan kerana peranan pembangkang sebagai semak dan imbang kerajaan akan sentiasa diutamakan,” katanya.