Didakwa edar 1.6kg kanabis, lelaki terlepas hukuman mati

Didakwa edar 1.6kg kanabis, lelaki terlepas hukuman mati

Mahkamah rayuan melepas dan membebaskan Ahmad Kamil Anuar, 37, selepas mendapati terdapat kekhilafan dari segi fakta dan undang-undang oleh hakim mahkamah tinggi.

Ahmad Kamil Anuar merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Sept 2020 yang menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadapnya kerana didapati bersalah mengedar dadah jenis kanabis pada 2018. (Gambar Reuters)
PUTRAJAYA:
Seorang lelaki terlepas hukuman gantung apabila mahkamah rayuan mengetepikan sabitan dan hukuman mati terhadapnya kerana mengedar dadah jenis kanabis seberat 1.6kg, empat tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai Kamaludin Md Said memerintahkan bekas pekerja bengkel membaiki sofa, Ahmad Kamil Anuar, 37, dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan itu selepas mendapati terdapat kekhilafan dari segi fakta dan undang-undang oleh hakim mahkamah tinggi ketika mensabitkannya dengan kesalahan mengedar dadah.

“Kami berpuas hati sabitan terhadap perayu adalah tidak selamat untuk dikekalkan. Oleh itu, sabitan diketepikan dan perayu dilepas dan dibebaskan,” kata Kamaludin yang bersidang bersama Ahmad Nasfy Yasin dan Hashim Hamzah.

Kelihatan isteri kepada perayu, yang hadir pada prosiding hari ini menangis teresak-esak semasa panel hakim memberi keputusan dan sebaik sahaja mahkamah berhenti bersidang, bapa Ahmad Kamil yang turut dilihat menangis mendekati anaknya sambil menggosok kepala lelaki itu dengan lembut sebelum pergi ke arah menantunya dan menenangkan wanita tersebut.

Ahmad Kamil merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Sept 2020 yang menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadapnya kerana didapati bersalah mengedar dadah jenis kanabis di sebuah pangsapuri di Wangsa Maju pada 3.45 petang, 7 Okt 2018.

Pertuduhan terhadap lelaki itu dilakukan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Atiqah Abdul Karim @ Husaini manakala peguam Ahmad Zaharil Muhaiyar dan Bisyri Abdul Razak, mewakili Ahmad Kamil.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.