
Pesuruhjaya Kehakiman Azizan Md Arshad berkata, ketika itu hakim Mahkamah Agung Hashim Yeop Sani membuat pemerhatian bahawa kehilangan kelayakan seorang ahli Parlimen adalah subjek persekutuan manakala ADUN adalah subjek negeri.
Azizan berkata, kelayakan DUN untuk meluluskan enakmen anti-lompat parti secara jelasnya diletakkan dalam Perenggan 6 Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan sebagai salah satu peruntukan penting yang diperlukan oleh Perlembagaan untuk dimasukkan dalam perlembagaan negeri.
Dalam penghakimannya, Hashim berkata, Perenggan 6 adalah kehilangan kelayakan berhubung keanggotaan ADUN “yang berada dalam kelayakan negeri dan juga diiktiraf dalam Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981″.
Beliau berkata, kuasa DUN untuk menggubal undang-undang anti-lompat parti juga diperuntukkan di bawah Perkara 74 (4) Perlembagaan Persekutuan.
Hashim membuat dapatan ini ketika menolak permohonan kebenaran oleh ADUN Sabah ketika itu, Abdul Karim Abdul Ghani, yang mencabar enakmen anti-lompat parti 1986 diluluskan oleh DUN ketika Parti Bersatu Sabah memerintah.
Beliau menolak permohonan kebenaran Karim untuk perkara itu dirujuk ke mahkamah tertinggi atas alasan teknikal lain.
DUN Sabah telah memansuhkan enakmen anti-lompat parti pada 1995.
Azizan dalam penghakiman yang dilihat oleh FMT berkata, kes Sabah tidak pernah dirujuk atau dihujahkan oleh Mahkamah Agung dalam kes melibatkan Nordin Salleh pada 1992.
“Ini adalah salah satu sebab mengapa kes ini (enakmen anti-lompat parti Pulau Pinang) harus ditentukan terus di peringkat Mahkamah Persekutuan,” katanya.
Dalam kes Nordin Salleh, Azizan berkata, isu itu adalah hak asasi berpersatuan yang dijamin oleh Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan.
Bagaimanapun, dalam kes Karim, isu itu adalah kehilangan kelayakan ADUN di bawah Perkara 74(4) Perlembagaan Persekutuan.