
SC mengesahkan laporan yang dibuat itu semalam terhadap pengumuman dikeluarkan oleh Serba Dinamik pada 21 April yang mengandungi kenyataan “tidak berasas dan berniat jahat”.
“SC mengecam sebarang percubaan untuk menggertak SC atau pegawainya dan memperlekehkan kuasa dan kredibilitinya,” katanya dalam kenyataan.
Menurut kenyataan itu, kandungan pengumuman Serba Dinamik mungkin mempunyai kesan yang mengelirukan orang ramai dan/atau menimbulkan imej yang negatif terhadap SC dan pegawainya.
Awal bulan ini, SC mengenakan kompaun terhadap Serba Dinamik Holdings Berhad (Serba Dinamik), ketua pegawai eksekutif, pengarah eksekutif, dan dua orang pegawai sebanyak RM3 juta setiap seorang kerana mengemukakan penyata kewangan palsu kepada Bursa Malaysia.
Bagaimanapun, Khamis lalu, Serba Dinamik mempersoalkan motif SC untuk mendakwanya.
Penyedia perkhidmatan minyak dan gas itu mendakwa bahawa SC bertanggungjawab untuk membuktikan bahawa setiap pengarah tahu kenyataan itu adalah palsu.
SC berkata kebanyakan dakwaan Serba Dinamik terhadapnya adalah hujahan dan isu yang dikemukakan dalam pelbagai prosiding Mahkamah Tinggi yang difailkan oleh syarikat itu, tetapi telah ditolak oleh mahkamah sebelum ini.
“SC ingin menyatakan bahawa siasatan berhubung perkara ini dilakukan mengikut kuasa statutorinya dan proses serta prosedur yang ditetapkan.”
SC turut menafikan ia gagal menyerahkan dokumen berkaitan kes dan menjelaskan bahawa penggunaan kuasa siasatan telah dilaksanakan dengan betul dan berniat baik.
“Pegawai penyiasat, pegawai pendakwa dan timbalan pendakwa raya SC tidak pernah mengancam mana-mana kakitangan Serba Dinamik.”