Penganggur didakwa bunuh teman wanita 16 tahun

Penganggur didakwa bunuh teman wanita 16 tahun

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Tertuduh, Lee Wei Shen, 24, didakwa membunuh seorang remaja perempuan berumur 16 tahun di sebuah rumah di Kampung Idaman, Pelabuhan Klang pada 26 Jun lalu. (Gambar Bernama)
KLANG:
Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan membunuh teman wanitanya, di rumah lelaki itu bulan lalu.

Lee Wei Shen, 24, mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Amirul Asyraf Abd Rasid yang kemudiannya menetapkan 7 Sept depan untuk sebutan kes bagi mendapatkan laporan kimia, toksikologi, bedah siasat dan forensik.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Lee didakwa membunuh seorang remaja perempuan berumur 16 tahun di sebuah rumah di Kampung Idaman, Pelabuhan Klang pada 3.40 pagi, 26 Jun lalu. Dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nuruljannah Aimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Media sebelum ini melaporkan seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun mati dipercayai dibunuh teman lelakinya di rumah lelaki itu di Kampung Idaman.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.