PAS tentukan sendiri tarikh bubar DUN

PAS tentukan sendiri tarikh bubar DUN

Presiden PAS, Hadi Awang, berkata menteri besar Kedah, Kelantan, dan Terengganu, akan bermesyuarat bagi menetapkan tarikh pembubaran DUN di tiga negeri itu.

(Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
PAS akan membuat keputusan sendiri mengenai tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri bagi membuka laluan kepada PRN, di Kedah, Kelantan, dan Terengganu yang dipimpin parti itu.

Presiden Hadi Awang berkata Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor; Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob; dan Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar, akan bermesyuarat bagi menetapkan tarikh berkenaan.

“Kita akan ada keputusan tersendiri,” katanya, lapor Bernama.

Hadi ditemui pemberita selepas program Perikatan Nasional di Seri Menanti, Negeri Sembilan. Beliau juga dilapor berkata PAS tidak akan membuat keputusan berhubung pembubaran DUN bersama Pakatan Harapan.

“Sama ada mereka (PH) nak ikut atau tidak, itu terpulang. Selama ini pun, mereka banyak mengikut kita.

“Sebelum ini, kita buat kenyataan tidak mahu ikut membubarkan Parlimen, mereka ikut juga,” katanya, lapor Awani.

Media sebelum ini melaporkan Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun berkata DUN negerinya dijangka dibubarkan pada Mei.

Beliau bersama Menteri Besar Selangor Amirudin Shari serta Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, sedia berbincang dengan tiga Menteri Besar di bawah pimpinan PAS mengenai perkara itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.