
Menterinya Nik Nazmi Nik Ahmad berkata cadangan penyelesaian jangka pendek pula adalah meningkatkan kekerapan penyelenggaraan sistem saliran kawasan itu.
“Penyelesaian jangka panjang adalah dengan pelaksanaan segera RTB Sungai Batu Enam, Sungai Kapar Kecil dan Sungai Kapar Besar,” katanya menurut laporan Bernama.
Beliau berkata demikian ketika lawatan kerja ke kawasan banjir sekitar Bandar Bukit Raja hari ini, susulan kejadian banjir kilat Ahad lalu di beberapa lokasi di Klang melibatkan kawasan Pekan Meru dan Bandar Bukit Raja.
Menurutnya, kawasan yang terjejas di Pekan Meru antaranya Taman Daya Meru, Taman Daya Maju, Jalan Kasban dan Persiaran Hamzah Alang, manakala kawasan Bukit Raja melibatkan Bandar Baru Bukit Raja dan Mutiara Bukit Raja.
“Dilaporkan anggaran 50 hingga 100 rumah terjejas banjir dengan kedalaman 0.1m ke 0.5m dan melibatkan perpindahan 20 keluarga,” katanya.
Nik Nazmi berkata kejadian banjir itu disebabkan hujan yang sangat lebat dan berlarutan lebih tiga jam serta bertembung air laut pasang.
Selain itu, katanya, faktor sistem saliran dalaman tidak dapat menampung kuantiti air yang banyak dan tidak dapat mengalir ke sungai kerana aras air sungai tinggi turut menyumbang kepada banjir.
“Pada hari kejadian Ahad lepas, Stesen Telemetri Kampung Perepat, Kapar merekodkan hujan tertinggi hingga 98.5mm menyebabkan status aras air Sungai Binjai, Pekan Meru meningkat hingga 4.38m melepasi aras bahaya, iaitu 4.2m pada pukul 12 tengah hari, namun surut sepenuhnya pada 5 petang semalam,” katanya.